MAIDAM sedia peruntukan RM1.2j kepada 561 pelajar

24 Jun 2010, Khamis

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0624&pub=Utusan_Malaysia&sec=Timur&pg=wt_04.htm

KUALA TERENGGANU 23 Jun – Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) memperuntukkan kira-kira RM1.2 juta bagi memberi bantuan dermasiswa zakat kepada 561 pelajar institusi pengajian tinggi awam dan swasta (IPTA/S) yang sedang menuntut di dalam dan luar negara.

Ketua Pegawai Eksekutif MAIDAM, Wan Harujan Wan Sulaiman berkata, bantuan dermasiswa itu membabitkan pelajar yang sedang melanjutkan pelajaran di peringkat sijil sehingga peringkat doktor falsafah (PhD) menerima antara RM1,000 hingga RM5,000.

Menurut beliau, bantuan dermasiswa itu dikhaskan kepada pelajar yang tidak mendapat tajaan atau pinjaman daripada mana-mana institusi selain mereka yang kurang berkemampuan.

Katanya, bagi peringkat sijil, pelajar sepenuh masa akan menerima bantuan RM2,000 dan pelajar sambilan menerima RM1,000 yang melibatkan seramai 64 orang.

Sementara pelajar diploma sepenuh masa akan menerima bantuan RM2,500 dan sambilan RM1,200 yang membabitkan seramai 278 orang.

Bagi peringkat ijazah, mereka menerima RM3,000 dan sambilan RM1,500 melibatkan seramai 175 orang.

Sementara itu bagi pelajar peringkat sarjana sepenuh masa akan menerima bantuan sebanyak RM4,000 dan sambilan RM2,000 membabitkan seramai 38 orang dan peringkat Phd menerima RM5,000 dengan jumlah enam pelajar.

“Bayaran bantuan itu diberi dari setahun ke setahun bergantung kepada pelajar sama ada menerima tajaan atau sebaliknya dan mereka perlu memohon setiap tahun,” katanya selepas Majlis Pengagihan Bantuan Dermasiswa Zakat MAIDAM 2010 di Kompleks Seri Iman di sini, hari ini.

Beliau berkata, sumbangan tersebut merupakan bantuan tahunan yang diberikan oleh MAIDAM.

Dalam perkembangan lain, MAIDAM mula memperkenalkan pembayaran bantuan bulanan kepada fakir miskin disalurkan terus ke akaun penerima sejak Mei lalu dengan daerah Kuala Terengganu sebagai permulaan.

Katanya, pembayaran terus ke akaun penerima untuk peringkat kedua akan diperkenalkan kepada penerima di daerah Besut dan setiap daerah dijangka menggunakan kaedah tersebut menjelang akhir tahun ini.

“Namun begitu, kepada golongan orang kurang upaya (OKU), orang tua dan sakit melarat pembayaran secara tunai akan diteruskan,” ujar beliau.

Pada masa ini, seramai 2,504 fakir miskin di seluruh negeri menerima bantuan itu antara RM250 hingga RM300 seorang pada minggu ketiga setiap bulan.

Selain itu, Wan Harujan memberitahu, MAIDAM dijangka membelanjakan kira-kira RM12 juta untuk diagihkan kepada kira-kira 35,000 penerima pada tahun ini yang dijangka dilakukan sebelum bulan puasa ini.

Difahamkan, bantuan kepada fakir miskin tersebut mungkin dinaikkan daripada RM250 sebelum ini kepada RM300 tahun ini.

About these ads