Galak pelajar minat sains

02 Julai 2010, Jumaat

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0702&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sabah_%26_Sarawak&pg=wb_02.htm
Oleh SOPI SAMAILE
utusansarawak@utusan.com.my

KUCHING 1 Julai – Yayasan Sarawak menawarkan Skim Biasiswa Bestari bagi menggalakkan pelajar di negeri ini meminati subjek sains dan seterusnya melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi dalam bidang berkenaan.

Penolong Pengarah (Pendidikan Komuniti) Yayasan Sarawak, Mohd. Shuib Maknun berkata, skim tersebut diberikan hanya kepada 15 pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang cemerlang setiap tahun dan ia dijangka bermula tahun ini.

Katanya, para pelajar yang berjaya memperoleh biasiswa tersebut boleh melanjutkan pengajian masing-masing sama ada di Universiti Teknologi Swinburne di Kuching atau Universiti Teknologi Curtin di Miri.

”Pelajar yang ingin mendapatkan biasiswa tersebut perlu sekurang-kurangnya memperoleh keputusan 10 A ke atas bagi melayakkan mereka menerima skim berkenaan sekali gus melanjutkan pengajian di salah satu universiti yang disebutkan.

”Pelajar yang menerima biasiswa akan dilayan seperti ‘Raja’ dengan segala kemudahan serta bahan pembelajaran akan disediakan semuanya sepanjang pengajian mereka di universiti pilihan masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Perasmian Pameran Sains 2010 (Program Kemasains – Ke Arah Masyarakat Sains) anjuran bersama Yayasan Sarawak dan Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Batu Lintang di Sekolah Kebangsaan (SK) Semenggok di sini hari ini.

Mohd. Shuib berkata, tujuan utama skim biasiswa tersebut untuk menarik minat pelajar dalam bidang sains di samping menarik penyertaan ibu bapa untuk bersama-sama memastikan anak-anak mereka merebut peluang berkenaan.

Selain menawarkan skim seumpama itu, beliau memberitahu, Yayasan Sarawak juga mengadakan program Kemasains dengan menggalakkan penyertaan semua pihak termasuk pelajar, guru serta ibu bapa bagi menerapkan minat murid-murid terhadap mata pelajaran sains sejak di peringkat awal lagi.

Jelasnya, menerusi program tersebut, ibu bapa secara tidak langsung akan dapat melihat modul mata pelajaran sains sekali gus memahami keperluan anak-anak mereka di sekolah.

”Pada masa sama, tujuan program Kemasains ini adalah untuk menjadikan mata pelajaran sains sebagai subjek yang menyeronokkan, maka ia akan lebih mudah diminati dan difahami oleh anak-anak.

”Penglibatan ibu bapa pada program seumpama itu juga akan dapat membantu pihak sekolah melahirkan pelajar yang mahir dalam sains berbanding hanya bergantung kepada para guru,” ujarnya.

About these ads