Arkib Berita, Forum, Masalah Pelajar

Tiga kriteria utama kemasukan anak Felda ke MRSM

01 Disember 2010, Rabu

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1201&pub=Utusan_Malaysia&sec=Forum&pg=fo_04.htm

DENGAN segala hormatnya kami merujuk kepada SMS daripada Lan82 di ruangan ini pada 19 November 2010.

Dimaklumkan bahawa dasar pengambilan pelajar ke tingkatan satu MRSM adalah tertakluk kepada tiga kriteria utama iaitu kecemerlangan akademik (5A), penglibatan dalam aktiviti ko-kurikulum dan status ekonomi keluarga.

Walau bagaimanapun sejak 2006, Mara telah membuat pengambilan khas bagi pelajar yang mendapat keputusan 4A 1B dan 3A 2B dalam UPSR dengan syarat mendapat gred A dalam Matematik dan Sains.

Tawaran ini diberikan kepada pelajar daripada keluarga berpendapatan kurang daripada RM850 sebulan dan mempunyai tanggungan lebih daripada lima orang anak iaitu kategori miskin tegar mengikut piawaian kerajaan.

Sekiranya terdapat anak-anak peneroka Felda di dalam kategori ini Mara menyarankan agar mengemukakan permohonan kepada Bahagian Pembangunan Komuniti Felda atau mana-mana Pejabat Mara Negeri atau daerah berhampiran.

Dimaklumkan juga bahawa terdapat tiga buah MRSM dalam pembinaan dan dijangka siap pada 2011. Ini akan membuka lebih banyak peluang kepada pelajar yang berkelayakan.

HASNI SULEIMAN

Pengarah Hal Ehwal Korporat

b.p Ketua Pengarah MARA.