Sorotan 2010: Menjana modal insan ke arah kecemerlangan pendidikan negara

Isnin , 27 Disember 2010

http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Sorotan2010_Menjanamodalinsankearahkecemerlanganpendidikannegara/Article

Oleh Rosniza Mohd Taha dan Basir Zahrom

Matlamat ditetap bantu capai perkembangan bertaraf dunia

DALAM kehidupan, bukan masyarakat terkuat atau terpandai yang akan terus hidup, tetapi mereka yang sentiasa mempunyai keinginan untuk berubah seiring dengan perubahan persekitaran, itu pendekatan yang diambil Kementerian Pelajaran bagi memacu pendidikan negara.

Pelbagai usaha, perubahan dasar serta penambahbaikan dibuat untuk memastikan kelicinan urusan semua pihak yang terbabit dalam sektor pendidikan di bawah naungan kementerian itu, namun banyak juga cabaran dihadapi, begitu juga persoalan yang menuntut penjelasan lanjut.

Tahun ini menyaksikan beberapa usaha penambahbaikan serta pengumuman dasar baru dibuat bagi memperkasakan sistem pendidikan negara serta sebagai maklum balas kepada cabaran semasa supaya terus relevan dan berada di landasan betul untuk melahirkan seberapa ramai modal insan berkualiti.

Antara usaha yang dilakukan awal tahun ini adalah pengumuman kumpulan pertama 20 Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) yang dipilih daripada 10,000 sekolah seluruh negara berdasarkan prestasi cemerlang dalam akademik dan kokurikulum selari dengan misi mengangkat sekolah negara ini bertaraf dunia.

Langkah pengenalan kumpulan sekolah terbabit dilihat sebagai titik permulaan yang baik sebelum jumlah itu meningkat kepada 100 sekolah menjelang 2012, semua ini dilakukan bagi melihat anak Malaysia mampu berdiri sama tinggi, duduk sama rendah walaupun masih berada di bangku sekolah lagi.

Cadangan mewujudkan pendidikan seks bagi mengurangkan isu masalah moral di negara ini April lalu pula menjadi topik perdebatan hebat banyak pihak memandangkan persepsi masyarakat Malaysia yang sensitif terhadap isu seks.
Justeru, Kementerian Pelajaran tidak menjadikannya sebagai sebuah mata pelajaran khusus, tetapi diajar menerusi subjek Pendidikan Kesihatan, di bawah Modul Teras Asas bagi Tahap Satu membabitkan murid Tahun Satu hingga Tiga yang diputuskan bulan lalu.

Kira-kira 500,000 murid Tahun Satu sesi persekolahan 2011 bakal menjadi kumpulan pertama diperkenalkan kepada mata pelajaran itu di bawah Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR), mulai bulan depan. KSSR dilaksanakan dari Tahun Satu mulai tahun depan, diikuti Tahun Dua dan seterusnya sehingga lengkap satu pusingan pada 2016.

Kurikulum baru ini adalah penambahbaikan Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) dan ia akan memberi penekanan kepada pendekatan pembelajaran secara langsung, di samping keupayaan berbahasa serta pembelajaran berasaskan projek.

Seperti tahun sebelumnya, sambutan sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan bertemakan ‘Guru Pembina Negara Bangsa, di Gambang 17 Mei lalu turut memperdengarkan khabar gembira kepada golongan pendidik apabila kerajaan mengumumkan ganjaran RM900 hingga RM7,500 kepada pengetua, guru besar dan guru sekolah rendah serta menengah yang mencatat prestasi cemerlang mencapai Indeks Petunjuk Prestasi (KPI) ditetapkan.

Ganjaran yang diagih mulai tahun depan itu sangat sesuai dengan konsep mengutamakan pencapaian menerusi satu daripada empat sub Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) serta memberi pengiktirafan sewajarnya kepada guru yang memberi sumbangan penting kepada rakyat dan negara.

Diharapkan dengan penghargaan serta pengiktirafan seperti itu mampu menyuntik semangat baru kepada guru untuk lebih gigih bagi meningkatkan prestasi sekolah serta keberhasilan pelajar.

Sebagai langkah persediaan ke arah pelaksanaan dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia, Memperkukuhkan Penguasaan Bahasa Inggeris (MBMMBI) tahun depan, kementerian mendatangkan 360 guru yang juga penutur jati bahasa Inggeris dari United Kingdom, Australia dan New Zealand Jun lalu untuk melatih guru opsyen bahasa Inggeris di negara ini supaya golongan itu akan menjadi guru pakar yang memberi latihan pengajaran bahasa Inggeris lebih berkesan termasuk melalui pendekatan seni bahasa serta pembelajaran lebih interaktif.

Bagi melengkapkan skop pembangunan sukan sekolah dalam melahirkan pelajar seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek, kementerian memperkenalkan Dasar 1Murid 1Sukan yang bakal dilaksanakan tahun depan.

Enam strategi dasar itu yang dipersetujui jawatankuasa ad-hoc dipengerusikan sendiri Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan dilaksanakan termasuk memberi bantuan kewangan sukan kepada sekolah, mewajibkan pembabitan pelajar dalam aktiviti sukan, mengenal pasti program sukan sekolah untuk dilaksana sepanjang tahun, menubuhkan Bahagian Sukan secara berasingan, elemen sukan dimasukkan dalam Standard Kualiti Pendidikan Malaysia dan mengenal pasti lima Institut Pendidikan Guru Malaysia untuk melatih guru sukan.

Satu lagi isu yang menjadi buah mulut tahun ini ialah kebenaran aktif dalam politik kepada pegawai perkhidmatan pendidikan siswazah Gred DG41 hingga DG48 yang dibenarkan semula bertanding, dilantik atau memegang sebarang jawatan dalam parti politik, berkuat kuasa 1 Ogos lalu selepas 17 tahun dilarang berbuat demikian.

Keputusan membabitkan 140,000 guru itu dari satu sudut pandang boleh dilihat sebagai langkah pembaharuan dalam perkhidmatan awam serta mampu melahirkan ahli politik berpendidikan, namun ia tidak sewajarnya lebih difokuskan berbanding tugasan hakiki kelompok itu. Justeru, kerajaan menegaskan kebenaran berkenaan diberi dengan syarat ketat agar tugas dan fokus utama guru mendidik anak tidak terjejas dengan pembabitan dalam politik.

Pada 16 September lalu, selain rakyat negara ini diberi cuti umum sempena Hari Malaysia, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak turut mengumumkan Program Susu 1Malaysia untuk diagih kepada 3.1 juta murid di seluruh negara membabitkan peruntukan RM375 juta setahun berasaskan pembekalan dua kotak susu seminggu setiap murid atau 270 juta kotak setahun bertujuan memastikan murid mendapat sumber protein mencukupi untuk menjalani pembelajaran, selain memiliki tubuh sihat dan cergas.

Program itu membuktikan kesungguhan kerajaan mengambil berat kebajikan pelajar terutama di luar bandar dan pedalaman, selain memberi kesan limpahan ekonomi meluas dalam jangka panjang.

Tahun ini juga, buat julung kalinya sekolah dibenarkan mengeluar sijil khas Pentaksiran Lisan Berasaskan Sekolah (PLBS) bagi bahasa Melayu dan Inggeris kepada murid Tahun Enam yang boleh dijadikan dokumen sokongan, termasuk untuk permohonan memasuki Tingkatan Satu sekolah berasrama penuh dan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).

Sijil itu mencatat pencapaian murid dalam PLBS bahasa Melayu dan Inggeris bagi empat kategori, iaitu tatabahasa dan kosa kata; sebutan, intonasi dan nada; fasih dan bermakna serta bertatasusila mengikut penggredan A, B, C, D atau E. Ia boleh diberi secara berasingan bagi pentaksiran lisan dua bahasa itu atau digabungkan keputusan kedua-duanya dalam satu dokumen sama.

Pihak sekolah boleh menggunakan logo masing-masing dengan dokumen itu ditandatangani guru subjek serta guru besar sebagai pengesahan.

Selepas empat bulan berpolemik dan beberapa siri rundingan meja bulat diadakan bagi membincangkan perubahan dua peperiksaan umum iaitu Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR), akhirnya pada 9 Oktober lalu, kementerian mengumumkan PMR tidak akan diteruskan serta diubah kepada format baru bermula 2014, manakala UPSR akan diteruskan dengan penambahbaikan mulai 2016.

Peperiksaan bagi pelajar Tingkatan Tiga akan dibuat melalui penilaian berasaskan sekolah, manakala UPSR bagi murid Tahun Enam akan mempunyai bentuk dan format yang agak berbeza, termasuk menggunakan nama baru. Antara penambahbaikan yang mungkin dilakukan untuk UPSR ialah 60 peratus penilaian murid akan berasaskan bidang akademik terpilih, manakala 40 peratus lagi berdasarkan kokurikulum atau sivik.

Kemudian bagi peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pula, Sejarah diumumkan menjadi mata pelajaran wajib lulus seperti Bahasa Melayu bagi peperiksaan itu mulai 2013 dan dilaksanakan sebagai mata pelajaran teras mengikut KSSR tahun berikutnya.

Pada 8 November, Pengarah Institut Aminuddin Baki, Datuk Abdul Ghafar Mahmud dilantik sebagai Ketua Pengarah Pelajaran yang baru bagi menggantikan Tan Sri Alimuddin Mohd Dom yang bersara wajib pada hari sama.

Sehari selepas itu, Kementerian Pelajaran mengumumkan pelantikan tujuh pakar akademik sebagai ahli Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan yang berperanan menasihati menteri dalam soal pembangunan dan isu pendidikan negara.

Terbaru, sebahagian daripada 12,000 guru sandaran tidak terlatih (GSTT) di seluruh negara menarik nafas lega apabila Kementerian Pelajaran mengumumkan untuk tidak memberhentikan kelompok itu yang bakal tamat kontrak tahun ini. Langkah itu diambil bagi memastikan kekurangan tenaga pengajar di sekolah dapat diatasi dan pendidikan pelajar juga tidak akan terganggu.

Guru GSTT yang sudah lama bertugas diserap ke jawatan tetap secara berperingkat melalui kursus dalam cuti atau Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) berdasarkan tempoh pengalaman bertugas sebagai guru GSTT dan keutamaan diberikan kepada guru sudah berkhidmat lebih tiga tahun.

Diharap dengan peruntukan bajet tahun depan sebanyak RM29.3 bilion di bawah strategi kedua yang menekankan pembangunan modal insan diberikan kepada Kementerian Pelajaran mampu melonjakkan lagi kecemerlangannya supaya terus meneraju sektor pendidikan negara ke satu tahap lebih membanggakan.

About these ads