Aliran vokasional pilihan ramai pelajar

Rabu , 12 Januari 2011

http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Aliranvokasionalpilihanramaipelajar/Article

Oleh Hazwan Faisal Mohamad
upen@bharian.com.my

SEJAK pelancaran transformasi pendidikan Vokasional Teknikal (Voctech) oleh Kementerian Pelajaran, tahun lalu menyaksikan peningkatan permintaan daripada ibu bapa yang menghantar anak masing-masing ke sekolah berkenaan.

“Kesedaran ini mencerminkan kesedaran umum mengenai pentingnya pendidikan teknik dan vokasional dalam memacu pembangunan negara,” kata Pengetua Sekolah Menengah Teknik Kajang, Kajang, Selangor, Mohd Ghazaly Haroun. Beliau ketika ditemui pada sesi pendaftaran kemasukan pelajar baru di Kajang, baru-baru ini, berkata aliran vokasional dan kemahiran penting dalam menyediakan tenaga mahir sejajar objektif mencapai status negara berpendapatan tinggi. Katanya, setakat ini bilangan pelajar vokasional sekitar 10 peratus dan angka itu masih jauh berbanding negara maju 50 peratus.

“Justeru, langkah kerajaan menambah bilangan pengambilan pelajar vokasional kepada 20 peratus menjelang 2015 adalah tindakan tepat bagi memastikan negara memiliki bekalan tenaga terlatih mencukupi.

“Selain itu, pengenalan beberapa bidang baru termasuk perantisan pengurusan dan penyelenggaraan sukan kuda (ekuin) serta teknologi pemprosesan kayu bermula tahun ini.

“Dua mata pelajaran baru itu mampu merangsang minat pelajar menyertai sekolah vokasional selain bantuan media mempromosikan aliran ini kepada masyarakat,” katanya.
Pendapat itu disokong Rosmiza Ahmad, 37, tidak bersetuju dengan persepsi masyarakat mengandaikan pelajar yang menyambung persekolahan di sekolah teknik tidak mempunyai masa depan cerah.

Katanya, sistem pendidikan di sini lebih khusus. Pelajar diberi pendedahan awal mengenai bidang yang diminati. Pengkhususan yang ditawarkan juga sesuai dalam melengkapkan pelajar kepada ilmu pengetahuan berkaitan.

“Pemilihan program yang diminati dapat menyuntik semangat pelajar untuk terus memberikan tumpuan dan cemerlang dalam bidang yang diceburi.

“Kini sudah ada beberapa universiti menawarkan program pengajian lanjutan dalam bidang kemahiran berteknologi tinggi,” katanya.

Seorang bapa, Nor Asmari Ibrahim, 45, berkata dia menyokong kemahuan anaknya melanjutkan pelajaran dalam aliran vokasional dengan memilih bidang automotif kerana minatnya ke arah itu.

“Berbekalkan keputusan Penilaian Menengah Rendah (PMR) baru-baru, dia memilih meneruskan persekolahan dalam aliran yang lebih khusus,” katanya.

Pelajar Tingkatan Empat, Mohd Riduan Shah Ikhwan, 16, berkata begitu meminati bidang kemahiran. Sistem pendidikan teknik dan vokasional memberi laluan kepadanya mengikuti sesi pembelajaran secara lebih khusus.

“Saya juga ada membaca mengenai Voctech di akhbar dan berpendapat bidang ini menjanjikan peluang yang cerah dalam kerjaya yang bakal diceburi.

“Dunia pekerjaan kini memberi tumpuan kepada calon yang memiliki kemahiran. Pusat pengajian tinggi dan institusi pendidikan lain antaranya politeknik dan Institut Kemahiran Belia Negara atau Institut Kemahiran MARA turut menawarkan kursus lanjutan,” katanya

About these ads