Peluang lepasan SPM sambung belajar

15 Januari 2010, Sabtu

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0115&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_10.htm
Oleh RADHUAN HUSSAIN
pengarang@utusan.com.my

KUALA TERENGGANU 14 Jan. – Mulai tahun ini, lebih ramai lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berpeluang menyambung pengajian di peringkat diploma dan sijil apabila kerajaan menawarkan lebih 148,500 tempat di institusi-institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, ia melibatkan sejumlah 14,000 tempat bagi pengambilan kursus asasi dan 34,000 tempat untuk diploma di IPTA.

Selain itu jelasnya, sebanyak 51,000 tempat ditawarkan untuk diploma di politeknik dan 11,000 tempat bagi peringkat sijil di kolej-kolej komuniti serta 38,500 tempat untuk sijil di Institut Latihan Kemahiran Awam (ILKA).

Beliau menjelaskan, peluang julung kali itu ditawarkan sempena Karnival Pengajian Tinggi Negara 2011 ‘Jom Masuk U’ yang membawa pendekatan 1Malaysia: Pendidikan Untuk Semua, yang bermula di sini hari ini.

“Penganjuran karnival kali ini akan membantu memastikan semua pelajar lepasan SPM dan setaraf dengannya memperoleh pendidikan lanjutan termasuk bidang kemahiran dan teknikal.

“Peluang ini juga untuk pelajar yang kurang cemerlang dalam SPM,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran karnival tersebut yang disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said di Pusat Dagangan Terengganu (TTC) di sini.

Karnival dua hari berakhir esok itu dianjurkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi dengan kerjasama Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).

Mohamed Khaled berkata, jumlah tempat yang ditawarkan itu merupakan sebahagian daripada 469,500 tempat yang disediakan untuk lepasan SPM atau setaraf selain di IPTS.

“Ia juga memberi peluang pendidikan lanjutan lain seperti tingkatan enam, matrikulasi, program ijazah sarjana muda pendidikan dan program persediaan ke luar negara secara tajaan,” ujarnya.

Beliau berkata, kementeriannya juga merancang mengarusperdanakan program pengajian diploma di IPTA bagi memperkasakannya sebagai salah satu pilihan pelajar lepasan SPM.

About these ads