Atasi masalah keciciran murid Orang Asli

27 Februari 2011, Ahad

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0227&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_14.htm


NAJIB Tun Razak melihat model Sekolah Kebangsaan Simpai pada Majlis Pecah Tanah Sekolah Kebangsaan Simpai di Pekan, Pahang, semalam. Turut sama, Mohd. Puad Zarkashi. – mingguan/RUSHDI SALLEH


 

PEKAN 26 Feb. – Masalah keciciran murid Orang Asli yang gagal melanjutkan pelajaran ke sekolah menengah merupakan satu cabaran kepada kerajaan untuk mengatasinya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, walaupun kemudahan infrastruktur pendidikan telah disediakan tetapi masalah sikap dan minda golongan itu perlu diubah khususnya ibu bapa supaya anak-anak mereka mendapat pendidikan sempurna.

“Sebanyak 31 peratus anak-anak Orang Asli di seluruh negara gagal melanjutkan pelajaran ke peringkat sekolah menengah.

“Mereka perlu mengetahui bahawa pendidikan itu penting dan ia adalah cabaran besar kepada golongan terbabit dalam meneruskan kehidupan,” katanya.

Beliau ketika berucap pada majlis pecah tanah Sekolah Kebangsaan (SK) Simpai di Ladang Simpai di sini hari ini.

Hadir sama Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi dan Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Datuk Dr. Rosli Mohamed.

Sekolah tersebut yang dijangka siap pada akhir tahun ini akan dibina menggunakan Sistem Binaan Industri (IBS) dan dijangka boleh digunakan pada awal Januari tahun depan.

Najib berkata, bagi mengatasi masalah itu kerajaan akan membina sekolah bersebelahan dengan penempatan Orang Asli dan menempatkan guru berdedikasi supaya ibu bapa golongan itu boleh menghantar anak mereka ke sekolah.

“Kerajaan akan menyediakan infrastruktur tersebut bagi membolehkan kanak-kanak terbabit ke sekolah.

“Jadi, ibu-bapa tidak boleh membawa keluar anak mereka dari sekolah untuk mencari hasil hutan sepanjang waktu persekolahan. Biarkan mereka mengikuti pembelajaran dengan lancar,” jelasnya.

Beliau memberi contoh, 12 murid tahun enam Orang Asli SK Tasik Chini di sini mendapat A dalam ujian penulisan Bahasa Melayu peringkat Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun lalu.

Katanya, kelulusan itu yang terbaik di seluruh negara bagi kategori sekolah Orang Asli dalam Bahasa Melayu.

Kejayaan itu adalah hasil dedikasi seorang guru sekolah itu, Roslina Abdullah dalam melahirkan murid cemerlang bagi golongan tersebut.

Dalam pada itu, Perdana Menteri memberitahu, kerajaan merancang menyediakan 2,348 prasekolah di kawasan pedalaman dan luar bandar seperti yang dirancang dalam tempoh lima tahun ini.

Katanya, ia bagi membina modal insan berkualiti melalui pendidikan awal yang bermula dari usia muda.

About these ads