Nasib pensyarah matrikulasi

06 April 2011, Rabu

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0406&pub=Utusan_Malaysia&sec=Forum&pg=fo_01.htm

SAYA ingin meluahkan suara hati mengenai sistem pertukaran pensyarah Kolej Matrikulasi Kementerian Pelajaran Malaysia (KMKPM) yang berada di bawah pengurusan Bahagian Matrikulasi Kementerian Pelajaran Malaysia (BMKPM).

Saya merasakan wujud kepincangan dalam sistem pertukaran pensyarah antara kolej matrikulasi. Akibatnya, ia mengundang rasa tidak senang kepada banyak pihak, terutama pensyarah yang telah memohon berulang kali tetapi tidak berjaya.

Ada pensyarah yang telah berkhidmat sehingga lima tahun di sesebuah kolej matrikulasi tertentu. Malah, ada yang lebih lama daripada itu. Mereka ini telah memohon bertukar sebanyak tiga hingga empat kali tetapi masih gagal.

Kegagalan ini bukan kerana tiada kekosongan di kolej matrikulasi yang dipohon, tetapi disebabkan BMKPM hendak menempatkan guru-guru sekolah dan pegawai Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) lain yang mendapat kenaikan pangkat atau gred untuk mengajar di kolej tersebut. Manakala pensyarah yang sedang berada di dalam sistem Matrikulasi KPM, setia berkhidmat serta membangunkan matrikulasi sejak awal penubuhan, tidak diambil berat dan diketepikan.

Jika perkara ini merupakan arahan pihak atasan di KPM, saya berharap mereka sedar dan dapat mengambil tahu bahawa sejumlah besar pensyarah matrikulasi sedia ada yang telah memohon pertukaran sangat berharap permohonan kami diluluskan.

Kami bukan tidak mementingkan kenaikan pangkat atau gred pegawai lain, tetapi fikirkanlah juga nasib kami yang telah menunggu sekian lama untuk bertukar. Dalam tempoh tersebut kami terpaksa berjauhan dengan keluarga, suami, isteri serta anak-anak yang sedang membesar dan memerlukan perhatian kedua-dua ibu bapa.

Ramai di antara kami yang perlu berulang jauh hampir setiap hujung minggu untuk berjumpa dengan keluarga masing-masing. Keadaan ini sememangnya mengganggu kualiti tugas dan tanggungjawab kami, sedangkan perkara ini boleh diatasi jika BMKPM dapat menguruskan isu pertukaran pensyarah dengan baik.

Saya yakin, isu yang saya bangkitkan ini mewakili hasrat seluruh pensyarah matrikulasi yang menjadi mangsa kepada sistem pertukaran di BMKPM yang pelik ini.

Kepada KPM, BMPKM dan pihak yang bertanggungjawab, kami sama sekali tidak cemburu atau iri hati dengan kenaikan gred dan pangkat pegawai-pegawai KPM lain. Cuma penempatan mereka di kolej-kolej matrikulasi menutup peluang kami untuk bertukar setelah berulang kali memohon, sekian lama berharap dan menanti.

Kita semua sedia maklum bahawa institusi keluarga yang baik dan emosi yang stabil akan memberi kesan baik terhadap mutu kerja seseorang pekerja dan sebaliknya. Bertepatan dengan slogan Perdana Menteri kita, ‘Rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan’, diharap pihak KPM dapat mengambil tindakan sepatutnya bagi menyelesaikan isu ini.

PENSYARAH MATRIKULASI

Kuala Lumpur

About these ads