Politeknik metro dibina di Betong

06 April 2011, Rabu

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0406&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_20.htm

KUCHING 5 April – Kerajaan akan membina sebuah politeknik metro di Betong bagi memenuhi keperluan tenaga kerja mahir dalam industri perkhidmatan khususnya di negeri ini.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kampus baru yang menelan belanja sekitar RM20 juta di bawah Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) itu dijangka dapat menampung kira-kira 1,500 penuntut.

“Setakat ini, lawatan tapak telah dibuat dan insya-Allah, pembinaannya akan dilaksanakan tahun hadapan.

“Sebaik sahaja siap, ia akan menjadi kampus politeknik ketiga di Sarawak selain di Kuching dan Mukah,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan program Politeknik Kuching Prihatin Bersama Komuniti di sini hari ini.

Pada program itu, Mohamed Khaled turut melancarkan Tabung Kemanusiaan Politeknik Kuching bagi membantu rakyat Jepun yang dilanda bencana gempa bumi dan tsunami baru-baru ini.

Mengulas lanjut beliau berkata, politeknik metro merupakan institusi pengajian yang menawarkan kursus berteraskan Bidang Ekonomi Utama Nasional (NKEA) termasuk perkhidmatan, teknologi maklumat, perbankan dan kewangan.

About these ads