Pensyarah kolej matrikulasi boleh mohon tukar selepas 3 tahun

Sabtu , 09 April 2011

http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Pensyarahkolejmatrikulasibolehmohontukarselepas3tahun/Article/index_html

KEMENTERIAN Pelajaran merujuk kepada surat bertajuk ‘Nasib pensyarah Matrikulasi’ oleh ‘Pensyarah Matrikulasi dari Kuala Lumpur’ yang disiarkan pada 6 April lalu.

Bahagian Matrikulasi, Kementerian Pelajaran menghargai jasa pensyarah kolej matrikulasi dalam mendidik pelajar. Bahagian ini juga peka dan prihatin di atas keperluan pensyarah di semua kolej matrikulasi.

Kelulusan pertukaran pensyarah kolej matrikulasi tertakluk kepada kekosongan dan keperluan di kolej matrikulasi yang dipohon. Pertukaran pensyarah pada dasarnya hanya dilakukan setahun sekali dan diputuskan dalam mesyuarat panel pertukaran pada peringkat Bahagian Matrikulasi.

Dasar pertukaran pensyarah kolej matrikulasi menetapkan bahawa seseorang pensyarah boleh dipertimbangkan permohonan pertukaran sekiranya sudah berkhidmat di kolej berkenaan selama lebih tiga tahun.

Sekiranya tiada kekosongan di kolej yang dipohon, permohonannya tidak dapat ditimbang untuk tahun semasa. Kelulusan pertukaran juga tertakluk pada keperluan kolej yang dipohon seperti mengisi jawatan mengikut keperluan mata pelajaran.

Bagaimanapun pihak kementerian memberi pertimbangan sewajarnya kepada kes khas seperti faktor kesihatan kritikal yang dialami oleh pensyarah yang memerlukan pemeriksaan kesihatan di tempat yang dipohon. Pemohon perlu mengemukakan laporan kesihatan daripada pegawai perubatan kerajaan untuk mengesahkan penyakit yang dihadapi.

Penempatan guru sekolah dan pegawai Kementerian Pelajaran yang mendapat kenaikan pangkat juga mengikut prosedur dan kekosongan serta keperluan yang ada di kolej matrikulasi. Tiada sebarang keistimewaan diberikan kepada kumpulan ini dan penempatan adalah bergantung pada kekosongan mengikut opsyen di semua kolej matrikulasi.
UNIT KOMUNIKASI KORPORAT,
Kementerian Pelajaran Malaysia

About these ads