Selaraskan syarat, yuran pendaftaran taska, tadika – Shahrizat

03 Jun 2011, Jumaat

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0603&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_12.htm
SHAHRIZAT Abdul Jalil bermesra dengan seorang kanak-kanak, Ahmad Zhoreef Zaharuddin sambil diperhatikan pengusaha-pengusaha taska seluruh Lembah Klang di Kuala Lumpur, semalam.

 

KUALA LUMPUR 2 Jun – Pihak berkuasa tempatan (PBT) diminta agar menyelaraskan syarat dan yuran dalam proses pendaftaran bagi mengelak beban tinggi ke atas pengusaha taska dan tadika sehingga gagal mendaftarkan premis mereka.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, masalah utama yang dihadapi pengusaha dalam proses pendaftaran berpunca daripada PBT yang mempunyai syarat serta yuran pemprosesan yang berbeza-beza.

“Bukan itu sahaja, ada antara pengusaha terpaksa menanggung beban bayaran perunding perancangan sehingga RM10,000 membuatkan proses pendaftaran tertangguh sehingga ada yang membuat keputusan untuk tidak mendaftarkan taska atau tadika mereka.

“Akibat kesukaran mendaftar dan mendapatkan lesen, ada yang memilih untuk menukar taska dan tadika mereka kepada pusat pembelajaran Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) dan fenomena ini amat membimbangkan kerana ada yang menyalahgunakan KAFA sebagai taska,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis interaksi Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Bersama Pengusaha Taska Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Negeri Selangor di Bangunan LPPKN, Jalan Raja Laut di sini hari ini.

Katanya, sehingga April lalu, hanya 584 buah taska dan tadika berdaftar berbanding 2,727 buah taska yang belum didaftarkan.

“Kita perlu lihat mengapa ramai pengusaha yang gagal mendaftar. Jika kita tidak bantu dan bimbing pengusaha mendapatkan lesen, bimbang kelak mereka mungkin membuka taska yang tidak berkualiti sehingga menyebabkan pelbagai masalah yang tidak diingini.

“Jika ia melibatkan kementerian masalah ini memang akan kita cuba selesaikan tetapi masalah yang dihadapi melibatkan PBT. Apa yang kementerian boleh lakukan ialah membantu ke arah penyelarasan syarat dan yuran pendaftaran antara satu PBT dengan PBT yang lain,” katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pengusaha Taska Berdaftar Malaysia, Shamsinah Che Shariff berkata, masalah boleh diatasi sekiranya PBT melonggarkan proses pendaftaran dan menyelaraskan bayaran yuran supaya tidak ada masalah berbangkit.

“Antara isu lain yang belum sempat diketengahkan ialah pengusaha bukan sahaja berdepan dengan taska yang tidak berdaftar tetapi juga taska yang dibuka oleh pendatang asing,” katanya.

About these ads