2011, Arkib Berita, Keselamatan Pelajar/Kesihatan, Pembangunan Sekolah, Program, Program Susu Sekolah

RM121.6j program Susu 1Malaysia

15 September 2011, Khamis

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0915&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_10.htm
Oleh TARMIZI ABDUL RAHIM
pengarang@utusan.com.my

PENAMPANG 14 Sept. – Kerajaan pada tahun ini telah memperuntukkan sebanyak RM121.6 juta bagi program Susu 1Malaysia melibatkan seramai 1.4 juta pelajar tahun satu hingga enam di sekolah-sekolah luar bandar di seluruh negara.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, kuantiti susu yang dibekalkan bagi tempoh April hingga Disember ini ialah sebanyak 85.4 juta kotak berdasarkan kepada jumlah pesanan sebenar atau susu yang selamat diminum.

Jelas beliau, sekiranya terdapat mana-mana susu yang rosak, pihak kementerian tidak akan membayarnya dan ia telah dipersetujui oleh empat pembekal utama yang dilantik kerajaan dalam program itu.

“Selain pelajar di sekolah luar bandar, pelajar-pelajar di bandar yang menerima Rancangan Makanan Tambahan (RMT) turut diberikan Susu 1Malaysia ini.

“Bagi Sabah, daripada jumlah 1.4 juta pelajar itu seramai 76,871 orang pelajar menerima bekalan susu sebanyak 4.6 juta kotak membabitkan kos sebanyak RM6.2 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Program Susu 1Malaysia peringkat daerah Penampang di Sekolah Kebangsaan Tampasak Tegudon di sini hari ini.

Hadir sama Timbalan Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Sabah, Maimunah Suhaibul.

Mohd. Puad yang berkesempatan melawat asrama desa sekolah itu juga berjanji untuk menyediakan peruntukan segera kementerian sebanyak RM30,000 bagi membaik pulih beberapa struktur asrama itu seperti dinding dan bangunannya yang rosak.

Mengulas lanjut, beliau berkata, program itu sebenarnya telah dimulakan pada April lalu tetapi terpaksa ditangguhkan kerana berlaku beberapa kes keracunan dan pihak kementerian telah memutuskan untuk meneruskannya semula pada 1 Ogos lalu setelah beberapa Prosedur Operasi Standard (SOP) diperketatkan.

Beliau berkata, pihaknya bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan untuk memantau proses pengagihan susu itu bermula daripada peringkat kilang hingga ia sampai ke tangan murid, bagi mengelak berlakunya sebarang kejadian yang tidak diingini.

“Kualitinya adalah terjamin, tetapi sekiranya terdapat pihak pembekal yang gagal mematuhi SOP, kita tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas,” katanya.