29 Disember 2011, Khamis
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=1229&pub=Utusan_Malaysia&sec=Ekonomi&pg=ek_14.htm
KUALA LUMPUR 28 Dis. – Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) hari ini memperkenalkan buku rekod untuk program Nadi Ilmu Amalan Membaca (Nilam) bagi memastikan bahan bacaan yang dibaca dapat direkodkan secara lebih sistematik.
Pengerusinya, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom berkata, para pelajar tidak diwajibkan membeli buku yang berharga RM7.90 senaskhah itu, namun digalakkan untuk menggunakannya pada sesi persekolahan akan datang.
Menurut beliau, Gabungan Majlis Guru Besar Malaysia (GMGBM) dan Majlis Pengetua Sekolah Menengah Malaysia (MPSM) akan bekerjasama dengan YGMB bagi menyelaraskan penggunaannya di seluruh negara itu.
“Pelajar boleh menggunakan buku rekod itu ketika berada di tahun 1 hingga 6, tidak seperti sebelum ini di mana mereka hanya mencatatkan sinopsis bahan bacaan semasa di tahun 1 sahaja, jadi sukar untuk membuat rujukan di masa hadapan.
“Oleh itu, dengan adanya buku berkulit keras yang tahan lasak ini, mereka dapat mencatat semua sinopsis bahan bacaan selama enam tahun dalam satu buku,” katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan buku rekod tersebut di sini hari ini.
Hadir sama Yang Dipertua GMGBM, Ruslan Madon dan Yang Dipertua MPSM, Muhammad Khailani Abd. Jalil.
Program Nilam yang mula diperkenalkan Kementerian Pelajaran sejak 1999 itu bertujuan menyemai tabiat membaca dalam kalangan pelajar di samping menggalakkan pihak sekolah menjana idea kreatif dan inovatif.
Menurut Alimuddin, sekolah-sekolah yang berminat untuk mendapatkan buku rekod tersebut boleh mengisi borang pesanan yang dikirimkan sebelum ini.
“Jika ada yang tidak menerima borang pesanan itu, mereka boleh mendapatkannya melalui laman web YGMB iaitu http://www.ygmb.com.my dan penghantaran akan dilakukan dalam tempoh dua minggu,” katanya.



