80% beban guru berkurangan

KUALA LUMPUR 18 Mac – Bebanan yang ditanggung para guru menerusi Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) kini berkurangan 70 hingga 80 peratus kerana mereka tidak perlu lagi mengisi dan merekodkan penilaian pelajar ke dalam sistem komputer berpusat secara dalam talian.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin berkata, guru-guru boleh merekodkan perkembangan pembelajaran murid secara offline selepas pelaksanaan PBS diteruskan semula dengan beberapa penambahbaikan pada 1 April ini.

Menurut beliau, langkah itu merupakan penyelesaian kepada isu merekodkan prestasi murid melalui Sistem Pengurusan PBS (SPPBS) secara dalam talian yang sukar diakses dan memakan masa yang lama.

“Yang jadi beban dahulu ialah kerana semua data penting termasuk eviden dan deskriptor perlu dimasukkan ke dalam sistem komputer berpusat secara dalam talian tetapi sekarang tidak perlu lagi.

“Bukan sahaja data tidak perlu disimpan secara dalam talian tetapi eviden dan deskriptor dikurangkan. Maka, ini akan mengurangkan antara 70 hingga 80 peratus beban yang ditanggung oleh guru-guru sekarang,” katanya dalam sidang akhbar bagi mengumumkan penambahbaikan PBS di bangunan Parlimen hari ini.

Yang turut hadir Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh; Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Mary Yap Kain Ching dan Timbalan Menteri Pendidikan II, P. Kamalanathan.

Pemimpin-pemimpin kesatuan guru yang hadir ialah Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Hashim Adnan; Setiausaha Agung NUTP, Lok Yim Pheng; Presiden Kesatuan Kebangsaan Guru-guru Lepasan Maktab Semenanjung Malaysia (KKGLMSM), Datuk Jemale Paiman; Yang Dipertua Majlis Pengetua Sekolah Malaysia (MPSM), Muhamad Khailani Abd. Jalil dan Yang Dipertua Majlis Gabungan Guru Besar Malaysia (MGGBM), Ruslan Madun.

PBS mula dilaksanakan di sekolah rendah sejak 2011 dan di sekolah menengah mulai 2012, namun Kementerian Pendidikan pada 11 Februari lalu telah membuat keputusan untuk menangguhkan dan mengkaji semula pelaksanaannya.

Tindakan itu diambil berikutan keluhan para guru bahawa mereka dibebankan dengan kesibukan mengisi dan merekodkan penilaian pelajar ke dalam sistem komputer berpusat.

Ibu bapa tidak pasti bagaimana prestasi dinilai terutama pelajar tingkatan tiga yang merupakan kohort pertama PBS.

Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan menambah, kementerian menetapkan Dokumen Standard Prestasi (DSP) dipermudahkan menjadi Panduan Perkembangan Pembelajaran Murid.

Beliau memberitahu, langkah penambahbaikan itu membolehkan guru-guru merekodkan tahap penguasaan pelajar mengikut kesesuaian masa dan kaedah mereka sendiri.

“Perekodan ini menggambarkan perkembangan pembelajaran pelajar semasa proses pengajaran dan pembelajaran yang boleh dimaklumkan kepada ibu bapa,” ujarnya.

Timbalan Perdana Menteri memberitahu, pihak sekolah boleh menyediakan laporan pencapaian ujian bulanan, peperiksaan pertengahan tahun atau peperiksaan akhir tahun untuk ibu bapa yang ingin mengetahui tahap pencapaian anak mereka.

Menurut beliau, guru juga tidak perlu lagi menyediakan Fail Perkembangan Murid (FPM) dan melengkapkan Rekod Transit manakala perekodan perkembangan pembelajaran pelajar boleh dilakukan mengikut kesesuaian masa mereka.

Dalam perkembangan sama, Muhyiddin berkata, latihan dan taklimat berhubung penambahbaikan PBS akan diadakan secara berterusan kepada pegawai-pegawai di jabatan pendidikan negeri, pejabat pendidikan daerah, pentadbir sekolah dan guru-guru.

“Saya fikir memang perlu ada penerangan supaya tidak berlaku salah faham. Kita buat kursus selama dua atau tiga hari mengikut kesesuaian,” jelasnya.

Tambah beliau, kementerian juga akan menganjurkan latihan bagi memastikan guru-guru memahami konsep pentaksiran dan meningkatkan kemahiran mereka memeriksa jawapan pelajar.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140319/dn_06/80-beban-guru-berkurangan#ixzz2wMnDOVgC
© Utusan Melayu (M) Bhd

Kurikulum baharu mulai 2015

SHAH ALAM 11 Mac – Kementerian Pendidikan akan melaksanakan Kurikulum Bersepadu Dini (KBD) dan Kurikulum Bersepadu Tahfiz (KBT) di semua sekolah menengah kebangsaan agama (SMKA) di seluruh negara bermula tahun depan.

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr. Khair Mohamad Yusof berkata, perkara itu telah diputuskan oleh pihaknya yang mana kedua-dua kurikulum tersebut akan dimulakan dengan para pelajar tingkatan satu di sekolah berkenaan.

“Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 menyediakan inisiatif untuk mengukuhkan laluan pendidikan agama melalui gelombang satu.

“Melalui inisiatif ini, kementerian beriltizam menyediakan pendidikan agama berkualiti tinggi bagi melengkapkan murid dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran yang relevan untuk berjaya dalam pasaran kerja berasaskan nilai serta tasawur Islam yang kukuh.

“Kerajaan menerusi Kementerian Pendidikan juga akan memperkukuhkan pelaksanaan kurikulum di sekolah agama dengan mengangkat KBD dan KBT sebagai kurikulum kebangsaan. Kedua-dua kurikulum ini akan bermula pada 2015 melibatkan pelajar tingkatan satu,” katanya.

Beliau berucap dalam majlis Anugerah Kecemerlangan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2013 peringkat kebangsaan di Sekolah Agama Menengah Tinggi Tengku Ampuan Jemaah di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Mesyuarat Lembaga Penasihat Penyelarasan Pelajaran dan Pendidikan Agama Islam (Lepai), Tan Sri Dr. Mohd. Yusof Noor serta Pengarah Lembaga Peperiksaan, Dr. Na’imah Ishak.

Sebanyak 34 pelajar menerima anugerah pada majlis tersebut setelah cemerlang dalam keputusan peperiksaan STAM pada tahun lalu manakala tiga buah sekolah agama turut diumumkan sebagai sekolah terbaik selepas menunjukkan peningkatan dalam Gred Purata Sekolah (GPS) melebihi 0.50 mata.

Tiga sekolah tersebut adalah Sekolah Menengah Kebangsaan Pesantren Abdul Taib Mahmud, Sarawak; Sekolah Menengah Agama (Arab) An-Nur dan Sekolah Maahad Pontian masing-masing di Johor.

Dalam pada itu, Khair menjelaskan, kerajaan juga merancang menambah bilangan SMKA di bawah Kementerian Pendidikan sebanyak 77 buah menjelang 2025 berbanding 57 buah di seluruh negara ketika ini.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Pendidikan/20140312/pe_01/Kurikulum-baharu-mulai-2015#ixzz2vnhdhQAl
© Utusan Melayu (M) Bhd

Guru tak perlu laksana PBS

Kuala Lumpur: Guru tidak perlu meneruskan pelaksanaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) sehingga kenyataan mengenainya dibuat Kementerian Pendidikan dalam masa terdekat.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Khair Mohamad Yusof dalam kenyataan semalam berkata, pihaknya akan memaklumkan keputusan kajian semula berkenaan setelah Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin berpuas hati dengan penambahbaikan yang dicadangkan.

Katanya, penambahbaikan itu mengambil kira dapatan kajian terbaharu kementerian, rungutan guru dan mengambil kira pandangan masyarakat termasuk Suara Guru Masyarakat Malaysia (SGMM).

Teliti semula perlaksanaan

“Kementerian mengambil inisiatif meneliti semula pelaksanaannya agar dapat mengurangkan bebanan tugas guru, dengan memfokuskan kepada rombakan perkara yang membabitkan kekerapan guru memasukkan data termasuk pengisian borang perekodan prestasi murid yang boleh membebankan guru,” katanya.

Teachers need not continue PBS implementation

KUALA LUMPUR: Teachers do not have to continue implementing the School-Based Assessment (PBS) until the Education Ministry issue a statement about it, said Education director-general Datuk Dr Khair Mohamad Yusof.
He said the Education Department would only announce the results of the PBS review after Education Minister Tan Sri Muhyiddin Yassin is satisfied with the proposed improvements.
The changes will take into account the ministry’s latest findings, teachers’ grievances, and public outcry, including that of Suara Guru Masyarakat Malaysia (SGMM), Khair said in a statement yesterday.
“The ministry has taken the initiative to re-examine the PBS implementation in order to reduce teachers’ workload by focusing on the frequencies of teachers entering the data, including filling in pupils’ performance evaluation record cards which can be burdensome,” he said.
He said the recently set up ministry-level PBS taskforce would hold a weekly meeting to review and evaluate the progress of each action taken in scrutinising the system.
“The PBS War Rooms have also been set up at the ministry level to address issues arising in the PBS implementation immediately and effectively, including providing prompt feedback,” he said.
He said the ministry was working on improving access to the School-Based Assessment Management System to ensure that teachers could gain access to the system more easily and effectively.
The nationwide PBS briefings for primary and secondary schools, which started on Monday, have also been put on hold to avoid confusion over its implementation, he added.
Khair said the findings of workshops on the PBS implementation involving teachers and teachers’ unions recently would be announced soon.
“This is to ensure that each element of the PBS implementation will provide a holistic assessment on students while reducing teachers’ burden in implementing it,” he added

Read more: http://www.theborneopost.com/2014/02/24/teachers-need-not-continue-pbs-implementation/#ixzz2uCEW6vXP

24 buah sekolah diiktiraf SBT

PUTRAJAYA 18 Sept. – Kementerian Pendidikan mengiktiraf 24 lagi Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) membabitkan 14 sekolah rendah dan 10 sekolah menengah di bawah kohort keempat tahun ini.

Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, pertambahan itu menjadikan jumlah keseluruhan SBT di seluruh negara sebanyak 115 buah sekolah.

Beliau berkata, sasaran kementerian bagi membangun dan mewujudkan 10 buah SBT setiap tahun dalam Program Transformasi Kerajaan (GTP) 2.0 telah tercapai dengan jayanya, lebih membanggakan melepasi sasaran apabila 24 buah sekolah mendapat pengiktirafan itu.

“Peruntukan khas akan diberikan kepada 24 SBT terbaharu ini berjumlah RM16.8 juta iaitu RM700,000 untuk tahun pertama, tahun kedua RM500,000 dan RM300,000 untuk tahun ketiga bagi setiap sekolah.

“Jumlah itu khusus untuk membantu bagi mengangkat kualiti pendidikan murid-murid negara ini ke satu tahap setanding dengan standard antarabangsa,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan majlis Pengiktirafan Sekolah Berprestasi Tinggi di sini hari ini.

Yang hadir sama Timbalan Menteri Pendidikan I, Datuk Mary Yap Kain Ching; Timbalan Menteri Pendidikan II, P. Kamalanathan; Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan I, Datuk Dr. Madinah Mohamad dan Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan II, Datuk Seri Dr. Zaini Ujang.

Menurut Idris, kementerian sangat berpuas hati pelaksanaan dan pencapaian cemerlang 91 SBT terdahulu yang telah diiktiraf mulai tahun 2010, sehubungan itu kerajaan bersetuju melanjutkan tempoh pelaksanaan SBT sehingga 2015.

Katanya, pada tahun ini kesemua SBT berkenaan telah menunjukkan kecemerlangan di pelbagai bidang merangkumi akademik, kokurikulum dan juga sukan di peringkat antarabangsa.

“Dengan pengiktirafan terbaharu ini, diharapkan kesemua SBT mampu menghasilkan murid cemerlang yang merupakan pewaris negara di masa hadapan.

“Selaras dengan hasrat SBT, pelajar mestilah mampu mendahului dalam memperoleh pencapaian yang cemerlang yang menjadi aspirasi kepada Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) yang diperkenalkan kerajaan,” katanya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Pendidikan/20130919/pe_01/24-buah-sekolah-diiktiraf-SBT#ixzz2fIFzLJRj
© Utusan Melayu (M) Bhd

PM beri sokongan penuh PPPM 2013-2015

PUTRAJAYA 21 Ogos – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, beliau memberi sokongan penuh kepada Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 yang bakal dilancarkan bulan depan.

Menurutnya, kerajaan akan meneruskan agenda pendidikan tersebut yang merupakan pendekatan terbaik bagi membawa pendidikan negara ke tahap antarabangsa setanding dengan negara-negara maju lain.

“Saya akan sokong blueprint pendidikan diteruskan dan saya akan membantu apa yang sudah dirancang,” katanya dalam ucapan ringkas sempena majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Kementerian Pendidikan di sini hari ini.

Yang hadir sama, isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman.

Pelan Pembangunan itu yang diumumkan sendiri oleh Perdana Menteri pada September tahun lalu merupakan pembaharuan yang bakal dilakukan kepada sistem pendidikan negara dari tahun ini sehingga 2025.

Pelan tersebut yang menggantikan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) bagaimanapun mendapat tentangan sesetengah pihak yang tidak berpuas hati antaranya Persekutuan Persatuan-persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) yang menyifatkan pelaksanaan pelan tersebut akan menghapuskan bahasa Cina.

Namun, kenyataan tersebut dibidas Timbalan Perdana Menteri dan menegaskan kerajaan tidak akan tunduk terhadap sebarang desakan memansuhkan pelan yang akan mentransformasikan sistem pendidikan negara itu.

Muhyiddin menegaskan, pelan tersebut bertujuan meningkatkan mutu pelajaran di sekolah kebangsaan di mana bahasa pengantarnya merupakan bahasa Melayu.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130822/dn_08/PM-beri-sokongan-penuh-PPPM-2013-2015#ixzz2ceYwCjw1
© Utusan Melayu (M) Bhd

Kajian tindakan merit guru cemerlang

PEMBENTANGAN kertas kajian tindakan yang bermakna dan berkesan kepada pengajaran dan pembelajaran akan dijadikan kriteria asas pemberian merit dalam pemilihan Guru Cemerlang.

Ahli Jawatankuasa Majlis Pengetua Sekolah Malaysia (MPSM) Cawangan Negeri Sembilan, Ramli Othman berkata, pembikinan sesuatu kertas kajian tindakan bukan sahaja memerlukan kemahiran akademik dan ketajaman minda saintifik, tetapi juga keterampilan ketika membentangkan kertas kajian mereka.

Beliau memberikan beberapa contoh guru biasa yang kini dimartabatkan sebagai Guru Cemerlang setelah mereka menghasilkan beberapa penyelidikan dan membentangkan kertas kajian di seminar di dalam dan luar negara.

Ramli yang juga Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Muhammad Yusof di Linggi, Negeri Sembilan menambah, inisiatif untuk mengadakan kajian tindakan dalam kalangan guru bertujuan melahirkan budaya penyelidikan bilik darjah.

Katanya, ia bermula pada 1995, apabila dia mendapat latihan di Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Pendidikan (EPRD) dengan tenaga pengajar daripada Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Wollongong, Australia.

Kemudian budaya itu mula diterapkan di Negeri Sembilan sekitar tahun 2000, dan kini beberapa guru mulai menunjukkan inisiatif menjalankan kajian tindakan di sekolah masing-masing dan membentangkannya di seminar-seminar tempatan dan antarabangsa.

Beliau memberikan contoh guru Matematik Cemerlang dari Sekolah Menengah Sains Seremban (SASER), Noraini Kasim, yang banyak menjalankan kajian tindakan di sekolahnya dan dikongsi dengan semua pendidik.

Noraini yang ditemui berkata, penemuannya terhadap penggunaan simbol swastika dalam subjek pengajarannya itu memudahkan proses pembelajaran pelajarnya.

”Apa yang pasti ia mencapai objektif dan kita dapat memudahkan pelajar untuk belajar dan ia amat efektif kerana prestasi mereka meningkat sejak ia diterapkan dalam proses pengajaran dan pembelajaran saya.

”Saya bersyukur dan gembira kerana ia amat memberi manfaat bukan sahaja kepada pelajar saya, malah dapat diperluaskan kepada guru dan pelajar lain melalui perkongsian hasil kajian saya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas membentangkan hasil kajiannya dalam Seminar Kajian Tindakan JPNS 2013 di Politeknik Port Dickson, Negeri Sembilan, baru-baru ini.

Sebanyak 21 kertas kajian daripada 18 buah sekolah dibentangkan pada seminar Kajian Tindakan baru-baru ini, dan sebahagiannya layak diberi perhatian berdasarkan kesan ketara terhadap pedagogi di sekolah masing-masing.

Sebagai contoh, kertas kajian tindakan bertajuk Paten Nombor Genap (PNG) oleh dua guru prasekolah Sekolah Kebangsaan Tanjung Agas di Port Dickson, Negeri Sembilan, Norhaizan Ismail dan Zainah Kadiman berjaya meningkatkan keupayaan pelajar berumur lima dan enam tahun menghafal sifir dua, empat, enam dan lapan dengan lancar.

Dengan menggunakan sumber tersedia di sekitar murid, seperti jubin lantai bilik darjah bagi menyediakan petak yang selaras dengan kaedah PNG, maka memadai untuk kedua-dua guru kreatif itu memupuk minat kanak-kanak menghafal sifir, yang dikatakan sebagai ibu pengiraan.

Seminar dianjurkan oleh Persatuan Pendidikan Sains dan Matematik serta Majlis Pengetua Negeri Sembilan.

Pengarah Pendidikan Negeri Sembilan, Kalsom Khalid pula berkata, memang Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013 sehingga 2015 (PPPM 2013-2015) menuntut guru berfikir pada aras tinggi supaya mereka mampu merancang dan melaksanakan kajian tindakan yang berkualiti dan bertaraf dunia.

Beliau berharap seminar itu dapat menggarap pelbagai persoalan dan isu pendidikan di dalam dan luar bilik darjah.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Pendidikan/20130701/pe_01/Kajian-tindakan-merit-guru-cemerlang#ixzz2XwHSfpsV
© Utusan Melayu (M) Bhd