Sumbangan guru KAFA diiktiraf

21 Jun 2010, Isnin

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0621&pub=Utusan_Malaysia&sec=Pendidikan&pg=pe_01.htm

Oleh MOHD. FADZLY MOHD. IZAB
pendidikan@utusan.com.my

Tokoh Guru KAFA, Abdul Halim Taib dan Zaiton Jamaluddin bersama pelajar cemerlang di Kuala Lumpur, baru-baru ini.



KUALA LUMPUR 20 Jun – Guru-guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) di negara ini semakin diiktiraf dengan pelbagai insentif bagi mencapai matlamat memastikan semua kanak-kanak Islam negara ini mendapat pendidikan Islam secara sistematik serta menguasai tuntutan Fardu Ain.

Hal ini bukan omong kosong dan buktinya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah menganugerahkan Tokoh Guru KAFA 2010 kepada Abd. Halim Taib, 54, dari Kuala Nerang, Kedah dan Zaiton Jamaluddin, 58, dari Gombak, Selangor.

Pada majlis perjumpaannya bersama guru-guru KAFA peringkat kebangsaan itu juga, beliau berjanji akan menaikkan elaun mereka dalam Bajet 2011 pada Oktober ini.

Majlis diadakan bagi meraikan para guru dan pelajar yang telah menunjukkan kecemerlangan di samping menghargai pelaksana KAFA negeri yang berjaya mencapai keputusan 100 peratus kelulusan pelajar dalam Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) 2009.

Pada majlis tersebut, dua penerima masing-masing bagi kategori lelaki dan perempuan dipilih untuk menerima Anugerah Tokoh Guru KAFA peringkat Kebangsaan.

Tokoh Guru KAFA kategori lelaki diterima oleh Abd. Halim Taib, 54, dari Kuala Nerang, Kedah manakala bagi kategori wanita pula disandang oleh Zaiton Jamaluddin, 58, dari Gombak, Selangor.

Pemilihan Tokoh Guru KAFA ini dibuat oleh Jawatankuasa Pemilihan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Mereka menerima hadiah wang tunai bernilai RM5,000 setiap seorang serta turut menerima piala, sijil dan hadiah iringan.

Penerima bagi kategori lelaki, Abd. Halim telah bertugas sebagai guru KAFA selama 17 tahun bermula pada 1993 dan kini bertugas di Sekolah Kebangsaan Tualak, Kuala Nerang.

Beliau merupakan pengerusi jemaah hakim kegiatan kokurikulum KAFA peringkat Daerah Padang Terap, Kedah, serta merupakan Jurulatih Tahsin dan Taranum untuk pelajar-pelajar KAFA negeri tersebut.

Beliau pernah menjadi Johan Qari Majlis Tilawah al-Quran Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Kedah pada 2000 serta pernah menerima Anugerah Guru dan Pegawai Agama Daerah Padang Terap selain Anugerah Guru Cemerlang dari Menteri Besar Kedah pada 2006.

Penerima bagi kategori wanita, Zaiton telah bertugas sebagai guru KAFA selama 37 tahun bermula pada 1972 dan kini merupakan Ketua Guru KAFA (Guru Besar) di KAFA Integrasi AU4, Taman Sri Keramat Tengah, Hulu Kelang, Selangor.

Tokoh ini berkelulusan empat Tsanawi dari Sekolah Menengah Agama Kampung Batu, Jalan Ipoh, Kuala Lumpur serta menerima Diploma Al-Quran dan Tajwid dari Institut Pengajian Ilmu-ilmu Islam.

Beliau merupakan penggubal soalan UPKK peringkat Kebangsaan bermula 2002 sehingga kini dan merupakan pengerusi jemaah hakim bagi program Kemahiran Amal Islami Zon Keramat, Selangor.

Selain itu, beliau juga merupakan penyanyi solo kumpulan nasyid Al-Hilal pimpinan Datuk Haji Hassan Azhari dan pernah mengadakan persembahan nasyid di Majlis Tilawah Al-Quran peringkat Kebangsaan dan Antarabangsa pada tahun 70-an dan 80-an.

Antara pencapaian yang pernah diterimanya ialah Pingat Perkhidmatan Cemerlang (PPC) sempena Keputeraan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor (2000) dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dari Jabatan Hal Ehwal Islam, Jabatan Perdana Menteri (1995).

Sementara itu, seramai 10 calon Anugerah Pelajar Cemerlang UPKK turut diumumkan pada majlis tersebut.

Mereka ialah Nurul Amiera Sakinah Abd. Jamal (Terengganu), Nur Sariha Safar (Johor), Fatimah Zahara Abu Mansor (Kedah), Mohd. Hasnol Arif Md. Salleh (Kedah), Nurin Asykin Mohd. Asli (Pahang), Farzana Omar (Negeri Sembilan), Laiya Illya Rezal (Perak), Abd. Hakim Abd. Basir (Perak), Noor Syahirah Muhammad Zahir (Selangor) dan Nur Amalin Mohd. Kamaruzaman (Kelantan).

Setiap calon menerima hadiah wang tunai RM1,000, sijil dan piala iringan.

Negeri-negeri yang mendapat keputusan 100 peratus kelulusan ialah Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Melaka, Johor, Pahang, Kelantan dan Sarawak.

UPKK lebih berkesan dilaksana secara amali

27 Mei 2010, Khamis

http://www.bharian.com.my/bharian/articles/UPKKlebihberkesandilaksanasecaraamali/Article

Oleh Sharifah Salwa Syed Akil
inasalwa@bharian.com.my

KUALA LUMPUR: Ujian Penilaian Kelas Kafa (UPKK) lebih berkesan dilaksanakan secara amali berbanding penulisan seperti dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) kerana murid berkenaan akan dinilai dan diuji secara temu bual selain menerusi pembacaan dan perbuatan mereka.

Presiden Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGGMMB), Mohd Sabri Arshad, berkata pihaknya juga mendapati ada segelintir murid kelas Kafa kurang menguasai kemahiran membaca dan menulis terutama dalam tulisan jawi sekali gus menjejaskan peluang mereka untuk lulus ujian berkenaan.
“Kita tidak mahu UPKK dibuat secara teori iaitu memberi fokus kepada ‘pensil dan kertas’ seperti yang dipraktikkan dalam UPSR.
“Bagi kita, menggunakan cara amali lebih berkesan kerana mereka dapat mempraktikkan apa yang diajar guru di kelas Kafa menerusi perbuatan dan bukannya secara penulisan semata-mata.

“Kita boleh melantik guru untuk melakukan ujian amali ini. Mereka bukan saja boleh menemuduga murid tetapi juga dapat menilai setiap bacaan dan pergerakan amali murid mereka.

“Contohnya untuk subjek al-Quran, guru boleh mendengar mereka membaca ayat suci dan menilai tahap pencapaian murid mereka,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Akhbar semalam melaporkan kerajaan akan memantapkan UPKK bagi membolehkan ia juga diambil kira setanding dengan UPSR ketika pelajar memohon memasuki Tingkatan Satu sekolah menengah kebangsaan agama milik kerajaan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia ke-51, yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Mohd Sabri berkata, pihaknya juga bimbang pelaksanaan UPKK secara teori akan membebankan pelajar Islam kerana perlu juga memberi tumpuan pada UPSR.

Sehubungan itu, pihaknya meminta kerajaan menerusi Kementerian Pelajaran mengadakan pertemuan bersama persatuan pendidikan untuk mencari satu formula menangani perkara berkenaan dengan lebih berkesan untuk faedah semua pihak tanpa mendatangkan kesan tidak baik kepada pelajar.

Ujian Penilaian Kelas Kafa setanding UPSR dikaji

http://www.bharian.com.my/bharian/articles/UjianPenilaianKelasKafasetandingUPSRdikaji/Article

26 Mei 2010, Rabu

NAJIB mempengerusikan mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia ke-51 di Putrajaya, semalam.
NAJIB mempengerusikan mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia ke-51 di Putrajaya, semalam.
PUTRAJAYA: Kerajaan akan memantapkan peperiksaan Ujian Penilaian Kelas Kafa (UPKK) bagi membolehkan ia juga diambil kira setanding dengan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) ketika pelajar memohon memasuki Tingkatan Satu sekolah menengah kebangsaan agama milik kerajaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, berkata perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia ke-51 yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, di sini, semalam.
“Kita mahu menjadikan peperiksaan UPKK sebagai kayu ukur untuk pelajar memasuki Tingkatan Satu ke sekolah menengah kebangsaan agama yang akan dinilai bersama keputusan UPSR.
“Selama ini keputusan UPKK hanya menjadi sebahagian kecil daripada penilaian untuk memasuki sekolah menengah agama dan dengan cara memperkasa UPKK, ia akan memberi motivasi kepada pelajar supaya turut menumpukan kepada pengajian Kafa (Kelas al-Quran dan Fardu Ain) kerana mereka tahu keputusannya akan mempengaruhi peluang mereka memasuki sekolah menengah agama,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Beliau berkata, peperiksaan UPKK akan menjadi pendorong kepada pelajar yang minat memasuki sekolah menengah kebangsaan agama supaya turut menumpukan kepada kurikulum kelas Kafa.

Katanya, perkara itu dibentangkan kepada majlis agama setiap negeri yang berkuasa terhadap hal-ehwal agama di negeri masing-masing sebelum dapat dilaksana.

“Kita berharap langkah memperkemaskan UPKK itu akan dapat dilaksanakan secara seragam selepas mendapat persetujuan setiap negeri,” katanya.
Selain itu, katanya, turut dibincangkan mengenai langkah menyeragamkan logo halal menerusi pindaan terhadap Akta Perihal Dagangan 1972 yang dijangka dibentangkan di Parlimen bulan depan.

Beliau berkata, kertas cadangan penyeragaman logo halal itu akan dipersembahkan kepada Majlis Raja-Raja untuk diperkenankan kerana kuasa mengeluarkan taraf halal terletak pada bidang kuasa Sultan di negeri-negeri.

Sijil halal diseragam, ujian penilaian KAFA diiktiraf

26 Mei 2010, Rabu

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0526&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_01.htm

PUTRAJAYA 25 Mei – Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia ke-51 di sini hari ini mencapai kesepakatan untuk menyeragamkan Sijil Halal Malaysia ke seluruh negara bagi mengelakkan kekeliruan kepada umat Islam.

Pada masa sama, persetujuan turut dicapai untuk mengiktiraf Ujian Penilaian Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) iaitu UPKK sebagai penilaian utama dalam kelayakan memasuki Sekolah Menengah Agama penuh dan sekolah berasrama penuh.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, perakuan pada mesyuarat yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak itu akan dipersembahkan untuk perkenan Majlis Raja-Raja pada persidangan akan datang.

”Ketika ini hanya logo pada Sijil Halal Malaysia itu sahaja yang seragam tetapi kandungan sijilnya masih dikeluarkan secara berbeza-beza oleh kerajaan-kerajaan negeri. Selepas ini nanti, sijil berkenaan masih akan dikeluarkan oleh negeri-negeri ini tetapi kita akan pastikan ia seragam.

”Mengenai UPKK pula, ketika ini ia hanya sekadar penilaian sampingan sahaja untuk memasuki sekolah berasrama penuh, justeru kita akan mengangkatnya untuk diiktiraf sebagai kelayakan utama,” kata beliau ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini.

Beliau ditanya hasil mesyuarat dua jam berkenaan yang diadakan di Pejabat Perdana Menteri.

Selain Jamil Khir, turut hadir ialah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mashitah Ibrahim dan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail.

Hadir sama Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir; Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman.

Program KAFA terbukti berkesan apabila keputusan UPKK di seluruh negara mengalami peningkatan setiap tahun.

Pada 2008 sahaja, sebanyak 99.94 peratus pelajar lulus ujian tersebut dengan tilawah mencatatkan sebanyak 87 peratus, manakala hafazan sebanyak 94.3 peratus.

Fungsi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam termasuklah memberi nasihat kepada Majlis Raja-Raja, kerajaan negeri atau Majlis Agama Islam negeri berkaitan perundangan atau pentadbiran agama Islam dengan tujuan menambah baik atau menggalakkan persamaan undang-undang.