InSTAR menang tujuh pingat pertandingan inovasi antarabangsa

28 Mei 2012, Isnin

http://www.utusan.com.my/info.asp?y=2012&dt=0528&pub=Utusan_Malaysia&sec=Pendidikan&pg=pe_03.htm

Pasukan Inovasi Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Tun Abdul Razak memperagakan pingat kejayaan masing-masing yang dimenangi dalam pelbagai pertandingan inovasi di peringkat antarabangsa di Pekan, Pahang baru-baru ini.

PASUKAN Inovasi Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Tun Abdul Razak (InSTAR), Pekan, Pahang berjaya mencipta nama di pertandingan inovasi peringkat antarabangsa dengan memenangi tujuh pingat di tiga benua berbeza iaitu Amerika, Eropah dan Asia.

Guru pembimbing projek inovasinya, Mohd. Fakharudin memberitahu, kejayaan pertama ditempa di tanah air sendiri dengan memenangi satu pingat emas dan satu anugerah khas daripada Malaysian Invention and Design Society (MINDS) melalui ciptaan bertajuk Eco-Air Purifier di Malaysian International Young Inventors Olympiad (MIYIO) yang diadakan di Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP) pada awal Mei lalu.

“Konsep projek dan hasil kajian adalah menggunakan bahan buangan yang banyak dihasilkan di negara kita ditukar kepada satu produk yang mesra alam.

“Terbukti ia membuahkan kejayaan dan ini akan mendorong kami untuk membudayakan kajian dan penyelidikan seawal di sekolah menengah lagi serta dapat menghasilkan modal insan yang boleh menyumbangkan tenaga dan idea kepada negara pada masa akan datang,” katanya melalui e-mel kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Seterusnya, InSTAR mencipta nama melalui dua puterinya yang menggondol pingat gangsa dalam pertandingan International Sustainable Energy, Environment and Engineering Project (I-SWEEEP) di Texas, Amerika Syarikat (AS).

Dua pelajar berkenaan, Anissa Abu Khalid dan Nur Ain Syafiqah Mohd. Noordin berjaya melalui penghasilan bahan komposit daripada sisa buangan nenas yang mampu mengurangkan penggunaan minyak mentah dalam penghasilan produk berasaskan plastik.

Kata Anissa, sisa buangan yang diperoleh daripada tanaman berkelompok nenas di kawasan Pekan mempunyai nilai potensi yang tinggi dalam menghasilkan produk plastik.

“Sifat gentian sisa buangan nenas ini sesuai sebagai bahan tambah kepada produk plastik kerana ia akan dapat mengurangkan penggunaan petroleum dalam penghasilan plastik serta meminimakan masalah pembakaran sisa dari ladang nenas,” jelasnya.

Kejayaan terus dikecapi oleh InSTAR yang berjaya membawa pulang dua pingat perak serta Anugerah Khas daripada Persatuan Reka Cipta Korea (KIA) di European Exhibition of Creativity and Innovation (EUROINVENT), Romania.

Ia diperoleh melalui kajian bertajuk ‘ParBo‘ From Biomass Waste of Palm Oil dan Cement Board (CB) From Rice Straw.

Melalui kajian itu, produk Parbo yang dihasilkan di negara kita mampu menggantikan papan serpai yang banyak dihasilkan dari kayu pokok getah dalam industri perabot serta penghasilan CB daripada jerami padi dapat mengurangkan pembakaran terbuka di kawasan penanaman padi.

Terkini, pelajar InSTAR, Muhammad Khairi Ramli dan Muhamamd Hisyamuddin Abd Rahman memenangi pingat perak di International Environment Project Olympiad (INEPO) di Istanbul, Turki.