Memacu kualiti pendidikan Perak ke taraf dunia

28 Mei 2012, Isnin

http://www.utusan.com.my/info.asp?y=2012&dt=0528&pub=Utusan_Malaysia&sec=Pendidikan&pg=pe_02.htm

MEMARTABATKAN profesion perguruan, merapatkan jurang pendidikan antara sekolah bandar dan luar bandar, memperkasakan sekolah-sekolah kebangsaan dan mewujudkan sistem pendidikan bertaraf dunia menjadi misi dan aspirasi pendidikan Perak

Exco Pelajaran, Pengajian Tinggi, Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT), Sumber Manusia, Sains & Teknologi Perak, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid berkata, matlamat memperkasa sekolah-sekolah di Perak menjadi agenda utama dalam proses integrasi meningkatkan kualiti pendidikan negeri.

“Usaha untuk memartabatkan kualiti pendidikan bertepatan dasar Kementerian Pelajaran melalui penubuhan program Perak Aman Jaya yang bertujuan membangunkan potensi pelajar melalui bantuan kewangan kepada pelajar dalam melanjutkan pelajaran serta membiayai pelajar-pelajar cemerlang.

“Melalui program Perak Aman Jaya juga ia memberi peluang kepada pelajar-pelajar sekolah rendah dan menengah melalui pembiayaan yang dikelolakan kerajaan negeri dengan memberi tuisyen secara percuma dalam usaha memperkasakan sekolah kebangsaan.

“Ia juga meliputi usaha kerajaan negeri melaksanakan program motivasi percuma kepada pelajar melalui Yayasan Bina Upaya terutamanya kepada golongan sasaran iaitu anak-anak yatim dan juga pelajar yang tidak berkemampuan,” katanya.

Mohammad Zahir berkata, bagi memastikan keberkesanan program itu ia telah dilaksanakan di peringkat sekolah rendah bagi menghasilkan output pendidikan dalam memacu modal insan pelajar yang berkualiti.

Katanya, berteraskan Falsafah Pendidikan Negara, kerajaan negeri juga menekankan proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) sistematik berteraskan sains dan teknologi serta ICT.

Antara projek inisiatif ICT di Perak ialah Program Kluster e-Pembelajaran KPerak atau KPerak e-Learning Cluster (KPEC).

“Projek ini bertujuan meningkatkan keberkesanan program berasaskan kluster yang dilaksanakan di sekolah dalam menyokong peranan guru bagi mempertingkat penggunaan ICT dalam P&P terhadap pedagogi yang lebih berpusatkan pelajar.

“Prinsip-prinsip penting projek ini adalah ia dilaksanakan di sekolah, berasaskan kluster dan dibantu oleh fasilitator,” jelasnya.

Beliau menambah, program ini membantu dan memupuk pengintegrasian ICT dalam P&P, memupuk amalan muhasabah diri yang disokong amalan komuniti online.

Selain itu, Mohammad Zahir berkata, Perak juga melaksanakan program ‘Perak 5A’ iaitu satu portal milik KPerak yang menyediakan satu sistem bantuan pendidikan secara online yang interaktif atau lebih dikenali dengan nama e-Pembelajaran.

“Objektif utama PERAK 5A-adalah untuk membantu pembelajaran murid sekolah rendah dengan memberi tumpuan kepada murid-murid tahun 4, 5 dan 6.

“Ia merupakan alat bantu mengajar yang dapat digunakan untuk meningkatkan lagi tahap pencapaian akademik murid-murid, selari dengan salah satu visi Jabatan Pelajaran Perak, iaitu, melonjakkan kecemerlangan dalam pencapaian akademik,” katanya.

Isi kandungan portal ini disediakan oleh guru-guru mata pelajaran daripada sekolah-sekolah KPEC.

Portal ini mengandungi e-Nota, set soalan topikal, set soalan latihan, ruang sembang (chat room), statistik perbandingan pencapaian antara sekolah-sekolah dan murid-murid, buku laporan pelajar dan analisis item (soalan).