Sistem pengajian tinggi negara ke-36 terbaik dunia

01 Jun 2012, Jumaat

http://www.utusan.com.my/info.asp?y=2012&dt=0601&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_12.htm

IPOH 31 Mei – Sistem pengajian tinggi negara berjaya menduduki tangga ke-36 terbaik dunia dalam satu ranking yang dikeluarkan U21 Ranking of National Higher Education Systems 2012, dua minggu lalu.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, ranking itu berdasarkan kajian Institut Kajian Sosial dan Ekonomi Gunaan, Universiti Melbourne, Australia yang membuat penilaian komprehensif mengenai sistem pendidikan negara di seluruh dunia.

“Ranking ini pertama kali dibuat dan melibatkan seluruh dunia. Ia mengkaji sektor pengajian tinggi sesebuah negara berbanding ranking terbaru yang lebih menjurus kepada pencapaian universiti.

“Ia melihat kepada sistem pengajian serta akses pendidikan dan antara kriteria yang diberi perhatian ialah bilangan pelajar wanita yang meneruskan pengajian ke universiti,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas melancarkan Program Reskilling danUpskilling anjuran Jabatan Pengajian Politeknik dan Politeknik Ungku Omar (PUO), di sini hari ini.

Mengulas kejayaan Universiti Malaya (UM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang masing-masing tersenarai dalam QS Asian University Rankings 2012 dan QS World University Rankings 2012, beliau menyifatkan ia satu pengiktirafan kepada sistem pengajian tinggi negara.

Namun katanya, ranking tersebut bukan satu-satunya mekanisme untuk mendapat pengiktirafan kerana kewujudan universiti itu antara lain berperanan melahirkan modal insan serta menjadi ejen transformasi kepada sesebuah negara.

Sehubungan itu, tambah beliau, kerajaan akan terus memberi fokus terhadap pelaburan universiti dalam membangunkan sistem pengajian tinggi yang mantap.

“Kita tetap mengambil kira soal ranking, namun kita tidak begitu taksub mengenainya,” katanya.