UPSI cipta sistem mudah nilai pelajar ikut prestasi

Khamis , 07 Jun 2012

http://www.bharian.com.my/bharian/articles/UPSIciptasistemmudahnilaipelajarikutprestasi/Article

Oleh Mohd Azrone Sarabatin
azrone@bharian.com.my
2012/06/07

PEGAWAI bukan akademik terbabit dalam usaha membangunkan sistem OISS dan 'E-award’s' UPSI memenangi pingat emas bersempena program ITEX 2012 di Kuala Lumpur.

PEGAWAI bukan akademik terbabit dalam usaha membangunkan sistem OISS dan ‘E-award’s’ UPSI memenangi pingat emas bersempena program ITEX 2012 di Kuala Lumpur.

Aplikasi canggih bakal dikomersialkan untuk kegunaan IPTA

PRODUK sistem aplikasi dalam talian, `Online Interview Score Sheet’ (OISS) hasil rekaan Bahagian Hal Ehwal Akademik (BHEA), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjong Malim, Perak, diyakini memudahkan proses menilai markah akademik dan kokurikulum pelajar.

Sistem itu menyenangkan urusan pengendalian temu duga serta pengumpulan markah bagi proses pengambilan pelajar yang kini digunakan oleh 13 institusi pengajian tinggi awam (IPTA) seluruh negara.

Ketua kumpulan membangunkan OISS, Azzah Abdul Latiff, berkata sistem itu dapat mengatasi masalah dihadapi sebelum ini seperti kelewatan menerima disket, kebimbangan berhubung kehilangan data markah calon atau kemungkinan lewat daripada tarikh akhir proses pemilihan calon.

Katanya, sistem canggih yang boleh digunakan IPTA, perkhidmatan kerajaan dan kerajaan negeri serta swasta itu sedang dalam proses penambahbaikan untuk dikomersialkan.

Beliau berkata, OISS antara produk UPSI yang memenangi lima pingat emas pada Pameran Reka Cipta, Inovasi dan Teknologi Antarabangsa (ITEX) 2012 berlangsung di Kuala Lumpur, baru-baru.

“Turut meraih emas adalah produk aplikasi ‘Excellence Award System’ atau `E-award’s’ yang memudahkan proses pemilihan pencalonan pelajar cemerlang pada majlis konvokesyen mengikut kriteria anugerah ditetapkan universiti,” katanya kepada Berita Harian di Kuala Lumpur.
Kedua-dua sistem itu dibangunkan Pegawai bukan akademik UPSI iaitu Mohammad Azrin Mat, Mohd Hafiz Md Aini, Maskana Ahmad, Azzah Abdul Latiff, Fairuz Nisha Mohd Fuat, Ikmal Redzuan Mohd Isa, Mohd Husyaini Hashim dan Mohamad Zaid Tahir.

Ikmal Redzuan berkata, sebelum kewujudan sistem `E-award’s’, pihak BHEA perlu mengumpul maklumat calon secara manual dan salinan cetak seperti keputusan akademik dan aktiviti kurikulum mereka.

Katanya, semua maklumat itu kemudian dibuat salinan dan dihantar dalam kuantiti banyak dan tebal kepada ahli mesyuarat pemilihan anugerah ternyata memerlukan masa dan penilaian yang lama serta kos yang tinggi.

Beliau berkata, `E-award’s’ boleh diisi dan diakses pelajar sendiri dan pensyarah mencadangkan pencalonan anugerah, manakala BHEA pula kemudian menyemak maklumat diisi sebelum menghantar laporan kepada jawatankuasa pemilihan.

“Perisian ini secara automatik membantu pengurusan universiti memilih calon berkelayakan menurut kriteria berdasarkan prestasi akademik, kokurikulum, sahsiah diri dan sosial ekonomi.

“Kami yakin, sistem ini juga mencegah pemilihan berat sebelah dan keselamatannya dijamin kerana hanya golongan tertentu sahaja boleh mengaksesnya,” katanya.