Anthony tempuhi pelbagai cabaran untuk bergelar guru cemerlang

Posted on June 8, 2012, Friday

ANTHONY

KUCHING: Ditempatkan di sebuah sekolah yang perlu menggunakan bot kira-kira enam jam dari pekan ke sekolah sebagai tugasan pertama, menjadi cabaran yang mungkin tidak dapat dilupakan Anthony Layan Kayah selama bergelar sebagai pendidik.

Tugas pertamanya di salah sebuah sekolah di Simunjan pada ketika itu, iaitu sekitar tahun 1978 mungkin amat jauh bezanya dengan keadaan masa kini bukan sahaja dari segi infrastruktur bahkan pengalaman yang dialami.

Beliau yang sepatutnya bersara pada penghujung tahun ini bagaimanapun membuat keputusan untuk melanjutkan perkhidmatan selama dua tahun lagi.

“Saya menjadi guru pada tahun 1978 dan dilantik sebagai guru besar pada tahun 1982 selepas empat tahun berkhidmat menjadi guru biasa.

“Saya ditugaskan ke sebuah sekolah di Simunjan dan kami menggunakan bot kira-kira selama enam jam dari pekan Simunjan untuk sampai ke sekolah dan selepas itu baharulah saya ditugaskan di Serian,” katanya ketika ditemui pemberita, semalam.

Beliau merupakan penerima Anugerah Guru Bahasa Inggeris Hyacinth Gaudart bagi Perkhidmatan Cemerlang dalam Profesion sempena dengan Persidangan Antarabangsa Persatuan Pengajaran Bahasa Inggeris Malaysia (MELTA) Ke-21 yang disampaikan Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Dr Khair Mohamad Yusof di sini.

Anthony menceritakan pada tahun 1982, beliau telah dilantik sebagai guru besar di SK Semalatong di Simunjan dan di sana beliau bersama kakitangan lain memulakan pelbagai program, yang merupakan tugasan pertama beliau sebagai guru besar.

“Saya juga diberi penghormatan untuk bertugas di sebuah sekolah yang baharu dibina bagi menggantikan bangunan lama. Ketika itu kami terpaksa melakukan banyak perkara. Sebagai orang baharu, ia adalah satu cabaran bagi saya.

“Disebabkan oleh kerjasama daripada penduduk kampung dan ibu bapa, kami dapat mencapai kejayaan dan ini me-nunjukkan bahawa kita boleh berjaya tidak kira di mana dan sejauh mana tempat di mana kita berkhidmat,” ujar guru besar berusia 56 tahun itu.

Beliau yang berkhidmat selama 6 tahun di sekolah ber-kenaan iaitu dari tahun 1981 hingga 1987 juga memulakan banyak program memandang-kan Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) telah diper-kenalkan buat pertama kalinya, juga satu lagi cabaran penting yang perlu dilalui beliau.

Anthony kemudian dipindahkan ke SK Rituh di Serian dan berkhidmat selama 14 tahun dan sekolah berkenaan berjaya dipilih sebagai Seko-lah Harapan Negara bagi peringkat luar bandar.

Namun, bagi anak Bidayuh kelahiran Serian itu cabarannya tidak terhenti disitu sahaja apabila dilantik sebagai guru besar di sebuah sekolah elit di bandar raya ini iaitu SK St Teresa di Jalan Tun Openg di sini pada tahun 2002, ia menjadi satu lagi cabaran kepadanya untuk mengekalkan keputusan cemerlang sekolah elit itu.

“Ini adalah tahun kesepuluh saya di St Teresa dan kita gembira untuk menyatakan bahawa kita telah melakukan yang terbaik dan sekali lagi ia disertai dengan kerjasama ibu bapa, para guru dan murid-murid yang berdisplin.

“Dari segi standard bahasa Inggeris guru di St Teresa, jika berdasarkan keputusan para pelajar kami amat bangga dengannya dan kebanyakan murid mendapat A. Sejak lima tahun lalu keputusan dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), kami sentiasa mendapat kelulusan 98 atau 100 peratus,” ujar bapa kepada dua orang anak itu.

Anthony yang mengajar dalam Bahasa Inggeris (BI) sejak tahun 1978 memberitahu standard penggunaan BI dalam kalangan murid bandar dan luar bandar amat berbeza.

Jika di sekolah bandar seperti St Teresa, kebanyakan murid fasih bercakap dalam BI, cuma mungkin ia tidak sebagus BI asli bagaimanapun di luar bandar pula guru perlu menjadi model dan perlu bercakap atau berkomunikasi dengan murid dalam BI.

“Pada mulanya, ia amat sukar sekali. Jika kita menggunakan kaedah penterjemahan, ia mungkin tidak begitu bagus. Mahu tidak mahu, kita mesti juga menggunakan kaedah penterjemahan.

“Cabaran kedua, kita perlu meyakinkan ibu bapa tentang kepentingan BI. Salah satu cara mungkin menerusi televisyen. Jika anda tidak tahu BI, sudah tentulah anda tidak faham cerita di televisyen. Kita boleh menggalakkan mereka untuk menonton program Inggeris menerusi televisyen atau membaca buku dan akhbar dalam BI,” kata Anthony.

Beliau memberitahu bagaimanapun sebenarnya kerajaan telah melakukan banyak perkara untuk mempromosikan BI dan tidak mengira apapun dasarnya, guru perlu menyesuaikan diri dan berubah sejajar dengan trend semasa.

Read more: http://www.theborneopost.com/2012/06/08/anthony-tempuhi-pelbagai-cabaran-untuk-bergelar-guru-cemerlang/#ixzz1xAECALmY