RELA kawal sekolah ditambah

Isnin , 11 Jun 2012

http://www.bharian.com.my/bharian/articles/RELAkawalsekolahditambah/Article

Oleh Norakmah Mat Youb

SERDANG: Anggota pasukan keselamatan termasuk Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (RELA) yang ditempatkan di sekolah akan ditambah bilangannya terutama pada waktu puncak.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata perkara itu sudah dibawa ke Kabinet berikutan kes seorang kanak-kanak warga Belanda, Nayati Shamelin Moodliar yang diculik ketika berjalan kaki ke sekolah, pada April lalu.

“Kita akan cuba membabitkan lebih banyak badan sukarela termasuk RELA kerana saya percaya dengan kehadiran lebih ramai mereka dapat mengurangkan kejadian jenayah.

“Inisiatif itu diharapkan memberi kepercayaan kepada ibu bapa mengenai keselamatan anak mereka ketika di sekolah,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Majlis Himpunan Skuad Muda Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini, semalam.

Lebih 15,000 sukarelawan muda berkumpul di perhimpunan itu sebagai permulaan kepada gelombang kesukarelaan negara, yang memberi ruang menyumbang bakti terhadap pembangunan negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dijangka melancarkan yayasan yang memberi peluang generasi muda menyuarakan pandangan dan hak bersuara, bulan depan.

Mengenai kes penculikan di pusat membeli-belah, Hishammuddin berkata, beliau akan berbincang dengan pihak berkaitan termasuk kementerian lain mengenai langkah mewajibkan pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di kompleks membeli-belah.
“Orang ramai diminta menyalurkan maklumat kepada kementerian jika terdapat kawasan tertentu yang perlu dimasuk ke dalam senarai lokasi panas supaya tindakan selanjutnya boleh diambil,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Hishammuddin berkata video perhimpunan BERSIH 3.0 akan disiar selepas dibentangkan kepada Panel Penasihat Bebas mengenai perhimpunan itu kerana tidak mahu dianggap mendahului panel terbabit.

Mengulas pengganti anggota panel itu yang menarik diri, katanya, panel yang dipengerusikan Tun Mohammed Haniff Omar diberi kebebasan untuk memilih penggantinya.