Tambahan RM3.6j perkasakan KAFA

11 Jun 2012, Isnin

http://www.utusan.com.my/info.asp?y=2012&dt=0611&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_22.htm
Oleh SITI AIRUNNISA ALAUI
pengarang@utusan.com.my

JAMIL Khir Baharom (tengah) bersama wakil penerima dari Jabatan Agama Islam negeri dan guru KAFA di Permai Hotel, Kuala Terengganu, semalam. – UTUSAN/SHAIFUDIN MOHD. NOR

KUALA TERENGGANU 10 Jun – Kerajaan Pusat memperuntukkan kira-kira RM3.6 juta lagi kepada pihak berkuasa agama negeri-negeri bagi memperkasakan pengajaran dan pembelajaran Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) di seluruh negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, tambahan peruntukan itu boleh digunakan bagi membolehkan pengendalian kursus dan latihan para guru, peralatan sokongan pengajaran seperti televisyen, komputer serta buku rujukan.

Katanya, seramai 31,810 tenaga guru di bawah penyelarasan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) di 5,572 buah sekolah KAFA yang mengajar sejumlah 934,053 murid akan memperoleh manfaat itu.

“Kita berharap guru-guru KAFA dapat meningkatkan keberkesanan pengajaran dan mengayakan teknik-teknik pengajaran, bersesuaian dengan tuntutan semasa bagi memartabatkan lagi pendidikan Islam,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Kursus Pengajaran Iqra’ dan Majlis Penyerahan bantuan Kerajaan Persekutuan kepada kelas-kelas KAFA seluruh negara di sini hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, Khazan Che Mat dan Timbalan Ketua Pengarah Jakim (Dasar), Mohamad Nordin Ibrahim.

Kelantan menerima peruntukan tertinggi iaitu sebanyak RM448,497 melibatkan jumlah guru seramai 5,277 di 413 buah sekolah, diikuti Perak berjumlah RM376,215 merangkumi seramai 3,120 guru di 686 sekolah.

Menurut Jamil Khir, kerajaan akan memperkemaskan pendekatan KAFA dari semasa ke semasa dalam usaha mempertingkatkan pendidikan Islam kepada generasi muda merangkumi teknik pengajaran, peningkatan elaun guru serta menambah baik prasarana sekolah.

“Buat masa ini kira-kira 15 peratus guru-guru KAFA yang telah mengikuti kursus pengajaran sebenar seperti yang diadakan pada hari ini iaitu pengajaran Iqra’ manakala selebihnya dalam proses ke arah itu,” jelasnya.

Sementara itu, beliau turut memuji kerajaan negeri Terengganu yang menganjurkan program khatam al-Quran secara beramai-ramai dan ia merupakan usaha kerajaan negeri itu melahirkan lebih ramai generasi celik al-Quran.

Jamil Khir berkata, beliau akan meminta Jakim meneliti program berkenaan secara mendalam agar lebih banyak program seumpamanya dilaksanakan bagi menyediakan barisan pelapis pelajar yang mampu membaca al-Quran sebelum memasuki sekolah rendah.