5,500 guru interim patut diserap ikut subjek

Rabu , 13 Jun 2012

http://www.bharian.com.my/bharian/articles/5_500guruinterimpatutdiserapikutsubjek/Article

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelajaran diminta supaya menyerap 5,500 guru interim sebagai guru tetap di sekolah yang masih lagi mengalami kekurangan guru mengikut keperluan subjek kritikal.

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Hashim Adnan berkata, kerajaan perlu meneliti secara terperinci penempatan guru supaya ia dilakukan secara seimbang bagi menampung kekurangan guru.

“Kita mahu kementerian memastikan guru berkenaan diberi keutamaan untuk ditempatkan di sekolah yang masih mengalami kekurangan guru mengikut keperluan subjek di sekolah berkenaan. Misalnya, jika sekolah berkenaan memerlukan guru bahasa Inggeris, maka kita perlu menempatkan guru subjek berkenaan.

“Hari ini ada sekolah yang mempunyai lambakan guru, lebih malang lagi guru ditempatkan di sekolah berkenaan pula tidak mengajar mata pelajaran sepatutnya beliau ajar kepada pelajar,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Kelmarin, akhbar melaporkan kira-kira 5,500 graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan termasuk 4,500 lepasan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang berjaya pada temu duga antara Januari hingga Mac akan ditempatkan di sekolah seluruh negara mulai bulan ini.

Selain itu, NUTP turut meminta pihak kementerian supaya memberi tumpuan berhubung kenaikan gred lebih 10,000 guru yang sudah mendapat ijazah, namun, masih lagi menikmati gaji peringkat diploma.