90 peratus OKU kanak-kanak tidak mendapat pendidikan

Posted on June 15, 2012, Friday

 

KUCHING: Lebih kurang 90 peratus golongan orang kurang upaya (OKU) adalah terdiri daripada kanak-kanak di seluruh dunia yang tidak mendapat pendidikan dan berlaku masalah buta huruf.

Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) Sarawak Detta Samen berkata statistik itu menunjukkan situasi yang membimbangkan dan adalah penting untuk memahami implikasi yang dihadapi jika ia berterusan.

“Tanpa akses kepada pendidikan dan latihan yang sesuai dengan keperluan mereka, orang kurang upaya tidak akan dapat meningkatkan kemahiran mereka untuk bekerja.

“Ada tanggapan yang menyatakan bahawa OKU tidak akan dapat menyumbang secara berkesan kepada masyarakat dan ini akan menghalang akses mereka kepada pekerjaan dan peluang lain,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian Perbincangan Meja Bulat Mengenai Isu Berkaitan OKU Bersama Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Sarawak: Persekitaran Mesra OKU yang disempurnakan Menteri Muda Kebajikan Robert Lawson Chuat di sini, semalam.

Menurut Detta, tanpa pekerjaan yang sesuai, golongan OKU tidak akan mempunyai kapasiti kewangan terutama dalam masyarakat yang berorientasikan ekonomi semasa.

Malahan ramai tidak mampu  untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah, dan seterusnya mencipta semula kitaran yang tidak diingini, ujar beliau.

“Perkhidmatan sokongan yang tidak mencukupi boleh membantutkan usaha ini, seperti peralatan atau peranti pembelajaran bagi pelajar OKU serta guru terlatih dan berkelayakan.

“Di samping itu, sistem pendidikan telah didapati tidak sesuai dan tidak dapat memenuhi keperluan pelajar kurang upaya dalam pembelajaran dan mereka sering menghadapi kesukaran dalam proses pembelajaran, berbanding pelajar lain kerana dikatakan OKU,” tegasnya.

Detta turut mendedahkan, ramai ibu bapa kanak-kanak OKU mendakwa bahawa mereka tidak dibenarkan untuk mendaftarkan anak-anak mereka ke sekolah.

Katanya ia disebabkan sekolah hanya menerima pelajar kurang upaya yang bebas dan boleh mengurus diri mereka sendiri.

Selain itu tambah beliau, walaupun terdapat undang-undang menyatakan bahawa mana-mana bangunan hendaklah disediakan dengan akses bagi membolehkan OKU masuk ke dalam bangunan serta kemudahan lain, namun ia amat kurang dibina.

“Adalah amat penting bagi kita untuk membincangkan mengenai isu yang memberi kesan kepada hak-hak OKU dan untuk mengenal pasti cabaran yang dihadapi oleh mereka sebagai golongan yang lemah dan kurang bernasib baik,” kata Detta.

Read more: http://www.theborneopost.com/2012/06/15/90-peratus-oku-kanak-kanak-tidak-mendapat-pendidikan/#ixzz1xpH4IVQJ