Minda Pengarang: Tindakan holistik bendung budaya samseng generasi muda

Isnin , 18 Jun 2012

http://www.bharian.com.my/bharian/articles/MindaPengarang_Tindakanholistikbendungbudayasamsenggenerasimuda/Article

KEJADIAN lebih 30 remaja bersenjatakan kayu, besi, cota dan topi keledar menyerang pelajar dan guru SMK Cheras Perdana, Kajang, Jumaat lalu benar-benar menggemparkan warga sekolah berkenaan serta penduduk sekitarnya. Walaupun pihak Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan menyifatkan ia kes terpencil, namun kejadian itu tidak sepatutnya berlaku di sekolah dan menjadikan pelajar sebagai mangsa. Sehingga semalam, polis menahan 20 remaja, termasuk pelajar untuk membantu siasatan. Serangan ala samseng dilakukan remaja berusia antara 15 hingga 21 tahun ternyata meresahkan banyak pihak, apatah lagi berlaku berhampiran kawasan sekolah. Berdasarkan bilangan mereka yang terbabit dalam serangan itu adalah ramai, kita percaya kejadian itu tidak berlaku secara spontan, sebaliknya dirancang rapi. Tentunya ada kaitan yang menjadi sebab dan akibatnya. Pergaduhan, apatah lagi membabitkan tindakan ganas sehingga mencederakan 10 pelajar dan seorang guru bukan budaya rakyat negara ini yang perlu dilakukan generasi muda yang menjadi aset negara pada masa depan. Walaupun kejadian itu sudah menjadi kes polis, namun kita harap pihak sekolah juga harus bertanggungjawab melakukan siasatan dalaman bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian. Ia akan membolehkan pengurusan sekolah memperketatkan kawalan disiplin pelajarnya bagi mengelak kejadian seumpama itu berulang, memandangkan antara suspek yang disiasat polis adalah beberapa pelajar sekolah itu sendiri. Mereka juga boleh meningkatkan kawalan keselamatan untuk melindungi warga sekolah berkenaan.

Ketika kita menyambut baik tindakan segera polis menyiasat dan memastikan golongan terbabit dikenakan tindakan tegas, kita juga berharap pelbagai pihak melapangkan fikiran mencari kaedah menangani isu disiplin yang semakin ketara sekarang. Tindakan undang-undang saja tidak memadai kerana isu jenayah kekerasan membabitkan gejala sosial memerlukan tindakan kemanusiaan dan pendekatan holistik. Mencari punca keganasan generasi muda wajar diutamakan kerana isu sosial bagaikan barah yang perlu ditangani sejak awal. Psikologi remaja, apatah lagi di kawasan urban di Lembah Klang memerlukan kajian menyeluruh. Masalah rumah tangga, krisis keyakinan dan ekonomi keluarga di kawasan pesat membangun memerlukan pendekatan menyeluruh. Keganasan dan tindakan samseng tidak datang dengan sendiri. Banyak faktor penyumbang. Ahli kaji sosial wajar memberi fokus apakah keganasan generasi muda ada kaitan dengan perubahan cara hidup yang kini dominasi persekitaran yang lebih kompleks? Memang kita akui bukan semua generasi muda terbabit dengan keganasan, namun tindakan segelintir pihak boleh menyebabkan masyarakat bimbang ia menular menjadi budaya baru yang menghakis nilai murni amalan masyarakat Malaysia yang menjadi amalan sejak dulu.