Langkah transformasi pendidikan

19 Jun 2012, Selasa

http://www.utusan.com.my/info.asp?y=2012&dt=0619&pub=Utusan_Malaysia&sec=Parlimen&pg=pa_01.htm

KUALA LUMPUR 18 Jun – Bidang profesionalisme perguruan dan aspirasi rakyat terhadap sistem pendidikan dan kemenjadian murid merupakan tumpuan utama yang perlu diberi perhatian dalam transformasi pendidikan.

Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perkara itu merupakan dapatan awal setelah lapan siri dialog dan tujuh perbincangan meja bulat dijalankan melalui penilaian semula sistem pendidikan negara.

“Seramai 8,415 orang daripada pelbagai lapisan masyarakat dan latar belakang pendidikan termasuk wakil daripada bidang keagamaan menyertai dialog ini.

“Namun masih ada ruang dan peluang untuk mereka menyumbang kerana terdapat lima siri dialog lagi akan berlangsung sehingga pertengahan bulan depan,” katanya bagi menjawab soalan Teng Boon Soon (BN-Tebrau) pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Muhyiddin yang juga Timbalan Perdana Menteri menambah, sesi perbincangan meja bulat juga dijangka dapat diselesaikan dalam tempoh sama.

Tambahnya, sesi yang bermula April lalu itu disertai kumpulan seperti penggerak masyarakat, ahli akademik, tokoh dan pemimpin masyarakat termasuk di kalangan golongan orang kurang upaya (OKU).

Menurut beliau, isu-isu yang dibangkitkan semasa sesi tersebut kebanyakannya menyentuh persoalan hampir sama seperti yang dibincangkan dalam siri dialog nasional.

“Antaranya, mengenai kualiti guru, sistem pendidikan, kurikulum dan pentaksiran kualiti sekolah dan pendidikan yang bebas daripada campur tangan politik,” katanya.

Dalam pada itu, Muhyiddin menambah, berdasarkan sesi dialog dan perbincangan tersebut, sebanyak 27 peratus responden menyentuh aspek profesionalisme perguruan, kebajikan dan kemahiran pengajaran guru.

Sebanyak 14 peratus responden pula, katanya, menyentuh mengenai aspirasi sistem pendidikan dan pembangunan modal insan yang lebih menyeluruh, kualiti sekolah (12 peratus) dan kepimpinan sekolah (11 peratus).

“Kerajaan berterima kasih kepada pertubuhan, persatuan, kesatuan, kumpulan komuniti dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang telah menghantar 22 memorandum mengandungi pandangan, resolusi dan cadangan yang kesemuanya sangat bernilai melalui sumbangan kepada penambahbaikan sistem pendidikan negara,” katanya.