Transformasi pendidikan yang ingin dilaksanakan perlu rujuk dasar

19 Jun 2012, Selasa

http://www.utusan.com.my/info.asp?y=2012&dt=0619&pub=Utusan_Malaysia&sec=Parlimen&pg=pa_04.htm

KUALA LUMPUR 18 Jun – Sebarang transformasi yang ingin dilaksanakan dalam kajian sistem pendidikan harus berlandaskan dasar sebelum ini agar sejajar dengan hala tuju pendidikan negara.

Dasar tersebut termasuklah Akta Pendidikan Negara 1996 iaitu Perkara 7 (1); Dasar Pendidikan Kebangsaan dan Dasar Bahasa Kebangsaan.

Pengerusi Muzakarah Pendidikan Kebangsaan, Dr. Awang Sariyan berkata, dasar berkenaan penting kerana ia adalah usaha kerajaan dalam memartabatkan bahasa, keutuhan jati diri serta perpaduan dalam negara secara berkesan.

“Transformasi tidak boleh bercanggah daripada asas-asas tersebut yang merupakan acuan pembentukan gagasan negara dan bangsa sejak negara mencapai kemerdekaan.

“Malah, perbincangan muzakarah kali ini turut berpendapat pengubahsuaian dalam sistem pendidikan tidak perlu dilakukan secara menyeluruh sebaliknya, hanya perlu dimantapkan dan ditingkatkan pelaksanaannya,” katanya.

Beliau yang juga Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) berkata demikian kepada pemberita selepas Muzakarah Pendidikan Kebangsaan di Menara DBP, di sini hari ini.

Turut hadir, Presiden Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB), Mohamed Sabri Mohd. Arsad dan Ketua Satu Gabungan Persatuan Penulis Nasional (Gapena), Prof. Datuk Dr. Abdul Latiff Abu Bakar.

Menurutnya, muzakarah juga berharap kerajaan tidak akan berkompromi dengan sebarang perubahan dasar terutama dalam isu bahasa pengantar utama dalam sistem pendidikan.

Katanya, jika merujuk kepada beberapa dasar berkaitan, peranan dan kedudukan bahasa Melayu sudah termaktub sebagai bahasa pengantar utama bermula di peringkat sekolah sehingga ke pengajian tinggi.

“Jadi, muzakarah berharap perkara ini diambil serius oleh semua pihak termasuk institusi pengajian tinggi awam dan swasta sebagai tanda penghormatan dan kesetiaan terhadap negara,” katanya.

Sementara itu, Abdul Latiff berkata, semua keputusan yang dibincangkan akan diserahkan melalui memorandum kepada Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 28 Jun ini.

“Sehingga kini, muzakarah sudah memperoleh 30 memorandum hasil saranan serta pendapat daripada 50 buah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan kami mensasarkan lebih 400 NGO lagi akan turut beri pandangan masing-masing.

“Kami juga bercadang mewujudkan Majlis Pemantauan dan Tindakan Bahasa yang diwakili NGO-NGO bagi membantu kerajaan dalam proses pemantauan terhadap penggunaan bahasa asing di negara ini,” ujarnya.