NUTP syor bendung segera remaja samseng

Rabu , 20 Jun 2012

http://www.bharian.com.my/bharian/articles/NUTPsyorbendungsegeraremajasamseng/Article

KUALA LUMPUR: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) mahu tindakan segera diambil bagi membendung kegiatan remaja samseng menyerang sekolah supaya kejadian buruk seumpama itu tidak berulang.

Sambil melahirkan rasa kesal terhadap insiden di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Cheras Perdana di sini tengah hari kelmarin, NUTP juga mahu aspek keselamatan di sekolah diberi perhatian serius.

Presidennya, Hashim Adnan, berkata usaha untuk mengekang kegiatan seperti itu daripada berulang tidak hanya terletak pada pihak berkuasa semata-mata, sebaliknya tanggungjawab sama harus dipikul ibu-bapa untuk mengawasi pergerakan anak mereka.

“Isu mengenai keselamatan di sekolah ini sememangnya sudah lama kita bincangkan mengenainya termasuk ada cadangan untuk menempatkan Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (RELA) di sekolah bagi menjaga keselamatan pelajar.

“Kejadian seperti ini harus dikawal mulai dari sekarang, walaupun ia adalah kes terpencil, tetapi harus diberi perhatian serius oleh semua pihak, ” katanya ketika dihubungi semalam.