Pelajar SMK Sultan Tajul Ariffin juara pertandingan video ‘ICT Duniaku 2012’

20 Jun 2012, Rabu

http://www.utusan.com.my/info.asp?y=2012&dt=0620&pub=Utusan_Malaysia&sec=Pendidikan&pg=pe_03.htm

Mohammad Zahir Abdul Khalid (berdiri berkemeja biru) bergambar bersama pemenang pada Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan ‘ICT Duniaku 2012’ di Perak Techno Trade Centre (PTTC), Ipoh, semalam.

IPOH 19 Jun – Lima pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Tajul Ariffin, Manong yang menggelarkan diri mereka sebagai kumpulan Semesta Studio diumumkan sebagai juara pertandingan video ‘ICT Duniaku 2012’ yang julung kali dianjurkan oleh KPerak Implementation and Coordination Corporation (KPerak).

Pelajar tingkatan tiga dan empat sekolah luar bandar itu berjaya menewaskan 234 penyertaan lain melibatkan 40 buah sekolah menengah di negeri ini, sekali gus membawa pulang hadiah berupa wang tunai bernilai RM10,000.

Selain diberikan sijil penghargaan, pihak sekolah tersebut turut dianugerahkan wang tunai sebanyak RM5,000.

Ketua kumpulan berkenaan, Ahmad Syafiq Zulkafli, 16, berkata, idea menghasilkan video tiga minit bertemakan Sekolah Saya itu tercetus selepas memerhatikan kehidupan rakan mereka yang juga merupakan pelajar Orang Asli.

“Video tersebut mengisahkan seorang pelajar, Ngah Saninas yang telah mengabaikan rakan-rakannya kerana terlalu hanyut dengan laman media sosial selepas menerima komputer riba 1Malaysia.

“Namun, selepas komputer riba itu pecah dalam satu kemalangan, dia menyesali kesilapannya dan mula menyedari erti persahabatan sebenar,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Majlis penyampaian hadiah disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Teknologi Maklumat Komunikasi, Sumber Manusia, Sains dan Teknologi negeri, Datuk Mohamad Zahir Abdul Khalid.

Turut hadir, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif KPerak, Saidon Puteh.

Sementara itu, Mohamad Zahir berkata, pertandingan tersebut antara lain bertujuan merapatkan jurang digital antara pelajar luar bandar dan bandar di negeri ini.

Selain mampu mencungkil bakat dalam kalangan pelajar, beliau berkata, ia juga bakal dijadikan pertandingan pada setiap tahun.