Pemudah akan diperluas ke seluruh negara

20 Jun 2012, Rabu

http://www.utusan.com.my/info.asp?y=2012&dt=0620&pub=Utusan_Malaysia&sec=Pendidikan&pg=pe_01.htm

PUTRAJAYA 19 Jun – Pertandingan Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (Pemudah), Cabaran: Kembali ke Sekolah akan diperluas ke seluruh negara untuk menggalakkan pelajar melahirkan idea kreatif.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan, berkata, program tersebut membolehkan generasi muda membiasakan diri dengan budaya inovasi dan kreatif agar golongan itu sentiasa peka serta berani bersuara.

Katanya, sumbangan idea kreatif dan penuh inovasi pelajar-pelajar itu secara tidak langsung dapat memantapkan lagi sistem pelajaran negara.

“Program ini telah menerima sambutan yang baik dengan 198 penyertaan diterima dari pihak sekretariat.

“Daripada jumlah itu, Pemudah telah mengenal pasti 24 atau 12 peratus idea bernas yang boleh dilaksanakan di sekolah-sekolah. Idea-idea ini dipilih berdasarkan kreativiti, inovasi dan keberkesanan serta impak kepada sistem pembelajaran,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis penyampaian hadiah Pemudah Cabaran: Kembali ke Sekolah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Bersama Pemudah, Tan Sri Yong Poh Kon dan Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Abdul Ghafar Mahmud.

Pemudah Cabaran: Kembali ke Sekolah terbuka kepada murid sekolah rendah dari tahun empat hingga enam.

Sekolah Kebangsaan Bukit Damansara (SKBD) dan Sekolah Kebangsaan Seri Bintang Selatan (SKSBS), Kuala Lumpur terpilih menyertai program perintis tersebut.

Sementara itu, Abdul Ghafar berkata, pihaknya mengalu-alukan pelaksanaan program tersebut kerana ia dapat menyumbang kepada pembentukan idea kreatif dan inovasi kepada pelajar.

“Terserah kepada pihak sekolah untuk melaksanakan program ini kerana kerana ia dapat membantu meningkatkan keberkesanan sistem pelajaran.

“Buat masa ini, kita memang memerlukan sumbangan-sumbangan idea kreatif,” katanya.

Salah seorang pemenang yang ditemui, Nor Nabilah Rosli, 11, berkata, dia menyertai pertandingan itu hasil galakan gurunya untuk menghasilkan sumbangan idea kreatif kepada sekolah.

Katanya, dia tidak menyangka idea penggunaan kad Touch n Go untuk memudahkan pembelian makanan dan minuman di kantin terpilih ke peringkat akhir.