Tiada batasan pendidikan

20 Jun 2012, Rabu

http://www.utusan.com.my/info.asp?y=2012&dt=0620&pub=Utusan_Malaysia&sec=Pendidikan&pg=pe_02.htm

Shafie Apdal dan Idris Jusoh (tengah) bersama para penerima anugerah pada sambutan Hari Pendidik Mara 2012 di Menara Mara, Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR 19 Jun – Majlis Amanah Rakyat (Mara) menerusi aspek pendidikannya akan terus membuka peluang kerjasama dengan institusi pengajian tinggi ternama di luar negara bagi memastikan kecemerlangan para pelajarnya.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, untuk itu semua institusi-institusi pendidikan di bawah Mara tidak boleh meletakkan batasan dalam kalangan pelajarnya untuk meneruskan pengajian di luar negara.

Contohnya, ujar beliau, Mara telah memberi peluang kepada sembilan pelajar melanjutkan pengajian tinggi di Universiti Cambridge berikutan hasil kerjasama yang berjaya diwujudkan sejak tahun lalu.

“Selain itu, usaha beberapa Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan Kolej Mara mengendalikan program pembelajaran International Baccalaureate (IB) membolehkan pelajar melanjutkan pelajaran ke luar negara,” katanya pada majlis sambutan Hari Pendidik Mara 2012 di sini hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Mara, Datuk Seri Idris Jusoh dan Ketua Pengarah Mara, Datuk Ibrahim Ahmad.

Pada majlis itu, bekas Ketua Pengarah Mara, Datuk Mohd. Mydin Mohd. Sheriff dipilih sebagai tokoh pendidik Mara 2012 sebagai menghargai jasanya dalam membantu pendidikan Mara terus cemerlang sehingga hari ini.

Mohd. Shafie berkata, Mara kini semakin berpuas hati dengan pencapaian pendidikannya terutama apabila sasaran kerajaan melihat pendidikan di kalangan bumiputera meningkat bakal terlaksana sejajar dengan agenda kerajaan menjelang 2020.