7,975 guru lepasan diploma naik taraf ke gred DG41

24 Jun 2012, Ahad

http://www.utusan.com.my/info.asp?y=2012&dt=0624&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_13.htm

BATU PAHAT 23 Jun – Seramai 7,975 guru perkhidmatan pendidikan lepasan diploma (PPLD) yang telah melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah akan dinaik taraf sebagai pegawai perkhidmatan pendidikan siswazah (PPS) gred DG41 tahun ini.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) meluluskan perjawatan baru itu kepada guru-guru tersebut pada Mei lalu.

Beliau menjelaskan, golongan itu merupakan sebahagian daripada guru-guru PPLD yang diberi peluang melanjutkan pelajaran secara jarak jauh dengan kerjasama Universiti Terbuka Malaysia (OUM) menerusi program pensiswazahan guru.

“Baru-baru ini, timbul isu guru-guru yang telah disiswazahkan belum disahkan perjawatan ke gred DG41 terutama bagi kohort dua, tiga, empat dan lima.

“Kita dan universiti melahirkan guru, tetapi hendak melantik perlukan kelulusan Perbendaharaan (treasury) sebab ‘dia’ akan bayar gaji dan luluskan perjawatan. Jadi, ini menyebabkan guru yang telah disiswazahkan ini kena menunggu untuk dinaikkan daripada PPLD kepada PPS,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Hari Guru peringkat Parlimen Batu Pahat di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chong Hwa di Senggarang di sini hari ini.

Difahamkan sehingga kini, seramai 13,558 guru yang sebelum ini mempunyai kelulusan diploma berjaya ‘disiswazahkan’ menerusi program pensiswazahan tersebut.

Sementara itu, Mohd. Puad berkata, dalam Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) yang berakhir 2016, Kementerian Pelajaran menyasarkan seramai 66,124 guru lagi akan menyambung pengajian ke peringkat ijazah bagi meningkatkan kualiti pendidikan negara.

Katanya, matlamat itu semakin hampir apabila hanya tinggal 2,464 guru belum berpeluang menyambung pengajian ke peringkat ijazah.

“Seramai 20,102 orang akan mengikuti program pensiswazahan guru pada September ini sekali gus menjadikan baki sasaran yang belum disiswazahkan sebanyak 32,464 orang.

“Bagaimanapun, daripada jumlah baki tersebut, 30,000 didapati tidak layak kerana berusia lebih 50 tahun justeru hanya tinggal 2,464 lagi yang perlu disiswazahkan,” katanya.

Mohd. Puad berkata, sehingga kini, guru berijazah mewakili 98 peratus tenaga pengajar di sekolah menengah manakala di sekolah rendah, 39.8 peratus.