Pendidikan keselamatan kanak-kanak perlu ditingkat

24 Jun 2012, Ahad

http://www.utusan.com.my/info.asp?y=2012&dt=0624&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_15.htm

KUALA LUMPUR 23 Jun – Pendidikan keselamatan membabitkan kanak-kanak perlu ditingkatkan ekoran peningkatan kejadian jenayah yang sering menimpa golongan tersebut di negara ini.

Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye berkata, melindungi kanak-kanak daripada sebarang ancaman jenayah adalah tanggungjawab semua pihak yang hidup dalam sesebuah masyarakat.

Menurutnya, kanak-kanak perlu diberi persekitaran hidup yang harmoni dan selamat bagi memastikan hak mereka untuk membesar dan hidup dapat terlaksana secara menyeluruh.

“Adalah penting untuk kita memberikan kanak-kanak ini khususnya murid-murid di sekolah rendah pendidikan awal keselamatan termasuk diajar cara-cara melindungi diri dalam satu-satu situasi.

“Selain itu, peranan ibu bapa, para guru dan anggota masyarakat juga harus dipertingkatkan dalam memastikan persekitaran hidup yang lebih selamat buat generasi akan datang,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tegas beliau, pihak berkuasa tempatan perlu mengenal pasti lebih banyak kawasan untuk dipasangkan kamera litar tertutup (CCTV) dan memberi lebih banyak perhatian terhadap pencahayaan yang baik di lorong-lorong dan simpang-simpang jalan yang gelap.

Tambahnya, ibu bapa dan penjaga juga perlu memainkan peranan utama dalam memastikan keselamatan anak-anak termasuk mengenali rakan-rakan sebaya mereka.

“Saya juga mencadangkan kerajaan memperhebatkan pendidikan keselamatan di sekolah dan mengajar kanak-kanak mengelakkan daripada berada di kawasan berbahaya,” jelasnya.

Lam Thye turut menegaskan perlunya wujud satu konsep masyarakat selamat memandangkan kadar jenayah di negara ini yang masih berada pada tahap membimbangkan.

“Konsep masyarakat selamat ini dapat mewujudkan jaminan keselamatan untuk orang ramai, mengurangkan kadar jenayah dan mengurangkan lain-lain perbelanjaan sosial,” jelasnya.