Sekolah luar bandar perlukan perhatian PPD

24 Jun 2012, Ahad

http://www.utusan.com.my/info.asp?y=2012&dt=0625&pub=Utusan_Malaysia&sec=Forum&pg=fo_04.htm
SECUPAK
Pahang Darul Makmur

SAYA ingin mengucapkan tahniah kepada seluruh warga pendidik daerah Lipis khususnya Pejabat Pelajaran Daerah Lipis kerana telah berjaya melaksanakan tugas selaku tuan rumah Sambutan Hari Guru Peringkat Negeri Pahang 2012 dengan begitu jayanya.

Hal ini membuktikan kepada umum bahawa warga pendidik sememangnya bertaraf dunia, dapat melaksanakan apa sahaja tanggungjawab yang diamanahkan dengan penuh kebertanggungjawaban.

Sambutan bermula dengan pertandingan memancing, memasak gulai tempoyak ikan patin, pertandingan woodball, pertandingan golf, kayuhan pendeta, mendaki Gua Bama, pameran pendidikan, rawatan kesihatan, ziarah hospital, makan malam, sehinggalah ke hari pelancaran oleh Menteri Besar Pahang, sambutan daripada warga pendidik sangat menggalakkan dari seluruh negeri Pahang.

Saya ingin respon tentang program ‘Pengarah Turun Padang’ yang dinyatakan oleh Yahaya Zainal Abidin, Pengarah JPN Pahang dalam ucapannya. Tahniah kerana beliau telah banyak melawat sekolah dan sesi perjumpaan dengan warga pendidik telah dilakukan. Beliau menunjukkan komitmen berjumpa dengan seluruh warga pendidik dan memberikan motivasi kepada guru-guru. Warga pendidik sangat-sangat teruja dan berterima kasih kerana dikunjungi dalam suasana mesra dan santai. Guru-guru dapat meluahkan masalah tanpa ada rasa tertekan. Inilah yang guru-guru mahukan, peringkat atasan sanggup turun ke akar umbi menyelami masalah di kalangan ahli.

Bagaimanapun, kami mengharapkan pelaksanaan program ini dapat diterjemahkan kepada ‘Pegawai Pelajaran Daerah Turun Padang’ atau ringkasnya ‘PPD Turun Padang’.

Banyak maklumat akan dapat apabila turun sendiri ke sekolah. Bukannya bermakna tidak percaya kepada pegawai-pegawai yang sebegitu ramai di PPD.

Kami mahu Pegawai PPD lihat sendiri keadaan sekolah di daerah masing-masing terutamanya Sekolah Kurang Murid (SKM) dan jauh di pedalaman.

Lihat sendiri keadaan fizikal sekolah dan hulurkan bantuan segera. Jangan asyik tertumpu kepada sekolah-sekolah elit di bandar.

Guru-guru akan berasa bangga sekiranya Pegawai PPD datang ke sekolah tanpa perlu dijemput dengan surat panjang berjela. Guru-guru begitu memerlukan perhatian dan suntikan semangat dari Pegawai PPD.

Jangan tunggu keputusan peperiksaan sudah merosot barulah datang untuk mencari kelemahan guru-guru. Musim peperiksaan UPSR, PMR dan SPM tidak lama lagi, inilah masanya Pegawai PPD bertemu murid-murid yang akan menduduki peperiksaan dan juga guru-guru yang bertungkus-lumus tanpa mengira waktu.

Lihat sendiri bagaimana bersemangatnya guru-guru mencurahkan ilmu bagi menaikkan nama sekolah dan daerah masing-masing. Semoga tema ‘Guru Menjana Transformasi Pendidikan Negara’ dihayati dan dekat di hati seluruh warga pendidik.