Teruskan bina SAR

24 Jun 2012, Ahad

http://www.utusan.com.my/info.asp?y=2012&dt=0625&pub=Utusan_Malaysia&sec=Forum&pg=fo_01.htm
SALLEH SAAD
Sungai Petani, Kedah

KEPUTUSAN kerajaan Perak di bawah pimpinan Menteri Besarnya, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir untuk meneruskan pembinaan bangunan baru Sekolah Agama Rakyat (SAR) di sebuah kawasan lapang dekat sebuah taman perumahan di Ipoh seperti laporan akhbar baru-baru ini amat dialu-alukan.

Difahamkan sebelum itu pengajaran dan pembelajaran pelajar-pelajar sekolah berkenaan adalah di dalam sebuah dewan orang ramai di kawasan perumahan berkenaan, namun disebabkan sesuatu perkara, mereka tidak lagi boleh beroperasi di bangunan itu dan memerlukan bangunan lain.

Pembinaan bangunan baru oleh kerajaan negeri Perak itu dilaporkan mendapat bantahan pihak-pihak tertentu terutama pembangkang namun mengikut laporan media sebahagian besar masyarakat di sana menyokong projek itu.

SAR adalah sebahagian daripada sistem pendidikan agama Islam di negara kita yang masih beroperasi. Pada suatu ketika dahulu SAR dikenali dengan nama ‘sekolah pondok’ dan banyak terdapat di negeri-negeri di Semenanjung seperti Kelantan, Terengganu, Kedah, Perak dan beberapa negeri lain.

Apabila dikaitkan dengan sistem persekolahan pondok sejauh pengetahuan saya sistem persekolahan ini ada kaitan dengan masalah kemiskinan, masyarakat Melayu dan roh Islamiah di kalangan ummah.

Saya sendiri pernah belajar di sebuah sekolah agama yang menggunakan sistem ini di Kedah beberapa tahun pada awal 1960-an sebelum melanjutkan pengajian di Maktab Mahmud (Al-Ma’had al-Mahmud) Alor Setar hingga ke tingkatan enam dan memperoleh As-syahadah An-nihaiah.

Berasaskan pengalaman belajar di sekolah, sistem ini bukan sahaja memerlukan kekuatan mental tetapi juga kekuatan rohani dan jasmani bagi setiap pelajar dan juga keluarga kerana ia terpaksa menghadapi pelbagai cabaran. Bahkan saya lihat tenaga pengajarnya juga turut sama berhadapan dengan situasi sama.

Oleh itu apabila ada mana-mana pihak, lebih-lebih lagi kerajaan sendiri yang mempunyai kuasa dalam pelbagai aspek seperti kewangan dan lain-lain , menunjuk minat bagi membantu perjalanan operasi sekolah sistem ini (SAR) wajarlah disokong dan dihargai sepenuhnya.

Ketepikan dulu sekiranya ada di belakang kita kepentingan lain seperti kepentingan politik dan sebagainya yang tidak menjuruskan kepada keberlangsungan sekolah-sekolah seperti ini. Amat malang sekali jika masyarakat Islam sendiri menjadi penghalang kepada usaha-usaha sedemikian.

Sepatutnya sebagai umat Islam kita kenalah beri kerjasama dan bantuan mengikut apa yang kita mampu seperti kewangan, pandangan dan sebagainya atau pun paling tidak sokongan moral. Apatah lagi bagi mereka yang ada di tangannya kuasa, gunakanlah kuasa itu untuk kebaikan ummah dan agama di samping faedah-faedah lain.

Maka dengan demikian langkah yang diambil kerajaan negeri Perak dalam mendepani isu ini bijak dan tepat. Semoga langkah itu mendapat sokongan semua pihak, khususnya mereka yang tinggal di sekitar kawasan itu demi faedah agama, anak-anak kita, bangsa dan negara.