Tuisyen percuma dilancar

Jumaat , 29 Jun 2012

http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Tuisyenpercumadilancar/Article

Oleh Magendran Rajagopal

NAJIB melancarkan Program iTR1M di Putrajaya, semalam.

NAJIB melancarkan Program iTR1M di Putrajaya, semalam.

PUTRAJAYA: Program interaktif Tuisyen Rakyat 1Malaysia (iTR1M) yang menyediakan tuisyen percuma kepada 10,000 pelajar di Selangor yang bakal menduduki peperiksaan umum tahun ini, dilancarkan semalam.

Projek perintis untuk Selangor itu akan memanfaatkan pelajar yang tidak mampu menghadiri kelas tuisyen berbayar tetapi bakal menduduki peperiksaan UPSR, PMR dan SPM pada tahun ini.

Ia dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada Sesi Sembang Perdana Menteri Bersama Profesor dan Profesor Madya Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA), di sini

Program yang berlangsung 18 Jun hingga Oktober itu dilaksanakan di sebanyak 107 sekolah, iaitu 30 sekolah menengah dan 77 sekolah rendah di Selangor, membabitkan 350 guru yang memberi tuisyen dalam mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains.

Kerajaan turut meluluskan peruntukan RM2 juta daripada Dana Khas kepada Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB). Ia diserahkan kepada pengerusinya, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom.

Dalam ucapannya, Razak meminta ahli akademik memainkan peranan meningkatkan mobiliti sosial rakyat menerusi pendidikan, sekali gus memantapkan modal insan dan modal intelektual negara.

Perdana Menteri berkata, bagi mencapai matlamat itu, perlu ada keseimbangan dalam mengadun dua prinsip asas, iaitu meritokrasi atau kecemerlangan dengan keadilan sosial bagi memastikan tiada kelompok masyarakat ketinggalan.
“Kalau kita pandang sekali imbas, ada percanggahan antara dua prinsip ini, tetapi hakikatnya kita perlu mengolahnya dalam konteks sebuah negara berbilang kaum di mana kawasan luar bandarnya begitu luas dan golongan berpendapatan rendah masih ramai.

“Kalau sistem kita (kerajaan) tidak memberi peluang yang adil kepada golongan terbabit, maka akan berlaku kepincangan dalam masyarakat. Justeru, kita nak adun keadilan sosial dan pada masa sama mengiktiraf merit,” katanya.

Hadir sama, Presiden Persatuan Pensyarah Kanan Universiti Teknologi MARA (UiTM), Prof Dr Mohamad Awang. Beliau yang juga wakil Majlis Kesatuan Akademik Malaysia (MAAC) yang mempunyai kira-kira 30,000 ahli di seluruh negara menyampaikan memorandum mengandungi tujuh perkara kepada Perdana Menteri.

Najib juga menekankan, pelajar di pedalaman dan luar bandar atau keluarga miskin di bandar harus diberi sedikit keistimewaan daripada segi akademik supaya berpeluang dalam perjalanan mencapai mobiliti sosial untuk memperbaiki taraf hidup.