UPNM tubuh Unit Rangkaian Antarabangsa Malaysia

28 Jun 2012, Khamis

http://www.utusan.com.my/info.asp?y=2012&dt=0628&pub=Utusan_Malaysia&sec=Kampus&pg=ka_01.htm

Allatif Mohd. Noor (kiri) menyampaikan sijil pengiktirafan UNESCO terhadap Unit Rangkaian Antarabangsa Malaysia Kerusi UNESCO dalam Bioetika kepada Mohd. Zin Bidin di UPNM, Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR 27 Jun – Malaysia menjadi negara Islam pertama yang menubuhkan Unit Rangkaian Antarabangsa Malaysia Kerusi Pertubuhan Pelajaran, Sains, dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) dalam Bioetika di Fakulti Perubatan dan Kesihatan Pertahanan, Universiti Pertahanan Negara Malaysia (UPNM).

Naib Canselor UPNM, Leftenan Jeneral Datuk Allatif Mohd. Nor berkata, unit itu bakal menyelaras dan membangunkan rangkaian pendidikan antara institusi pengajian tinggi tempatan dan antarabangsa dalam bidang bioetika.

Tambahnya, unit itu juga akan menjadi pusat rujukan bioetika di negara ini dalam usaha meningkatkan kesedaran mengenainya di kalangan penuntut universiti.

“Ia juga bertanggungjawab merangka kurikulum pendidikan bioetika yang terkini di samping mempromosikan penyelidikan dalam bidang tersebut,” katanya ketika berucap melancarkan unit berkenaan di sini hari ini.

Unit tersebut mendapat mandat daripada Senat UPNM pada 8 Ogos tahun lalu sebelum diluluskan Pengerusi Kerusi UNESCO dalam Bioetika, Prof. Amnon Carmi dua hari kemudiannya.

Ia akan dipengerusikan Dekan Fakulti Perubatan dan Kesihatan Pertahanan, Mejar Jeneral Prof. Datuk Dr. Mohd. Zin Bidin.

Allatif menambah, antara aktiviti yang telah dirancang unit itu termasuk Seminar Kerusi UNESCO 2012 berkenaan Bioetika pada 20 hingga 21 September ini bertempat di UPNM.

Katanya, seminar itu bertujuan meningkatkan lagi kesedaran masyarakat antarabangsa berhubung aspek bioetika.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UPNM, Prof. Dr. Rugayah Mohamed berkata, unit itu akan diwakili pakar-pakar dari institusi pengajian tinggi, agensi-agensi dan profesion daripada pelbagai disiplin.

“Penubuhan unit ini merupakan usaha UPNM dalam mendapatkan pengiktirafan dunia selain tanggungjawab sosial korporat kepada masyarakat dan negara,” jelasnya.