2012, Arkib Berita, IPT, Masalah Pelajar

Jawatankuasa kaji isu siswazah

30 Jun 2012, Sabtu

http://www.utusan.com.my/info.asp?y=2012&dt=0630&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_04.htm
Oleh SYUKRI SHAARI
pengarang@utusan.com.my

MOHAMED Khaled Nordin melawat tapak pameran selepas merasmikan Karnival Kerjaya dan Keusahawan Graduan (K3G) 2012 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, semalam. – UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI

KUALA LUMPUR 29 Jun – Kementerian Pengajian Tinggi akan menubuhkan satu jawatankuasa bagi mengkaji isu siswazah yang mendapat pekerjaan serta pendapatan tidak setimpal dengan kelulusan dimiliki.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kajian berhubung perkara itu wajar dibuat memandangkan ia boleh memberi gambaran sebenar dihadapi pelajar apabila menamatkan pengajian serta memasuki alam pekerjaan.

Selain itu, katanya, kajian juga akan dilakukan terhadap kebarangkalian pelajar diserap bekerja selepas menjalani tempoh latihan industri di sesebuah syarikat.

“Walaupun dari segi angka, seramai 75 peratus graduan (siswazah) kita mendapat pekerjaan dalam tempoh enam bulan selepas tamat pengajian tetapi masih ada perkara perlu dikaji terutamanya berhubung sama ada pekerjaan serta pendapatan yang diterima setimpal dengan kelulusan dimiliki.

“Kami tidak mahu berlakunya situasi di mana walaupun mendapat pekerjaan setelah tamat pengajian tetapi ia tidak setimpal dan tidak sesuai dengan kelulusan dimiliki mereka. Ia tidak wajar.

“Selain itu, kami juga akan membuat kaji selidik berhubung jumlah pelajar yang terus diserap bekerja selepas tamat tempoh latihan industri,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Karnival Kerjaya dan Keusahawanan Graduan (K3G) 2012 di sini hari ini.

K3G bertujuan memberi pendedahan maklumat kerjaya dan keusahawanan kepada siswazah atau bakal siswazah selain menjadi wadah mengintegrasikan agensi kerajaan, swasta termasuklah pertubuhan bukan kerajaan dalam menangani isu kebolehpasaran serta kebolehdapatan pekerjaan kalangan siswazah.

Dalam pada itu, Mohamed Khaled berkata, kementerian dengan bantuan institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan akan meningkatkan usaha memupuk minat pelajar dalam bidang perniagaan dan keusahawanan.

Katanya, perkara itu perlu memandangkan hanya satu peratus iaitu sekitar 1,034 siswazah IPT memilih menceburi bidang perniagaan selepas menamatkan pengajian mereka.

“Dalam usaha menjadi negara maju menjelang 2020, maka usaha bersepadu perlu diambil untuk mengubah pemikiran pelajar dan siswazah daripada menjadi pencari pekerjaan kepada penjana peluang pekerjaan (keusahawanan).

“Negara memerlukan lebih ramai usahawan dalam kalangan siswazah IPT untuk menjadi pemangkin transformasi ekonomi negara kepada ekonomi berpendapatan tinggi dan berpaksikan inovasi. Jadi usaha secara teratur dan bersepadu perlu dilakukan dari peringkat IPT lagi bagi memupuk minat terhadap bidang keusahawanan dalam kalangan siswazah,” jelasnya.