Subjek reka cipta terus diperkasa

30 Jun 2012, Sabtu

http://www.utusan.com.my/info.asp?y=2012&dt=0630&pub=Utusan_Malaysia&sec=Pendidikan&pg=pe_01.htm

MELAKA 29 Jun – Kementerian Pelajaran akan terus memperkasa subjek reka cipta berasaskan projek pengintegrasian pelbagai bidang ilmu pengetahuan dan kemahiran bertaraf antarabangsa melalui penganjuran Kem F1 In Schools.

Timbalan Menterinya, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, projek yang mula diperkenalkan pada 2005 itu melibatkan peruntukan sebanyak RM49 juta termasuk menaik taraf makmal reka cipta di 114 buah sekolah menengah di seluruh negara.

Katanya, ia merupakan aktiviti kokurikulum yang banyak membantu pelajar sekolah menengah memenuhi sistem pendidikan negara.

Menurut beliau, projek menggunakan teknologi F1 dari United Kingdom itu menerapkan 12 elemen utama yang terkandung dalam pelaksanaan aktiviti antaranya reka bentuk, pembuatan, analisis, pengujian dan perlumbaan

“Projek ini telah menyumbang ke arah pembentukan modal insan yang seimbang, berilmu dan berkemahiran dalam pelbagai bidang.

“Lebih penting, kementerian mendapati penganjurannya secara tidak langsung telah banyak membantu pelajar dalam tiga bidang utama iaitu kemahiran berfikir, teknologi maklumat dan komunikasi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan penutup Kem F1 In Schools peringkat kebangsaan di sini hari ini.

Sebanyak 147 pasukan daripada 114 sekolah menengah seluruh negara menyertai kem itu yang diadakan selama lima hari.