Subjek PKRS di sekolah mampu bendung kepincangan sosial remaja

06 Julai 2012, Jumaat

 http://www.utusan.com.my/info.asp?y=2012&dt=0706&pub=Utusan_Malaysia&sec=Pendidikan&pg=pe_01.htm

SUNGAI PETANI 5 Julai – Kementerian Pelajaran berharap mata pelajaran Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PKRS) yang bakal diperkenalkan kepada murid sekolah tidak lama lagi berupaya mengurangkan masalah kepincangan sosial di kalangan anak muda sekarang.

Timbalan Menterinya, Dr. Mohd Puad Zarkashi berkata, selain itu, silibus yang sesuai dimasukkan dalam mata pelajaran berkenaan juga dikatakan boleh menyedarkan anak muda mengenai bahaya ancaman kegiatan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LBGT) di negara ini.

“Dahulu pengajaran mengenai unsur-unsur pendidikan seks dibuat secara tidak langsung iaitu dengan menumpang subjek lain. Namun sekarang kerajaan berpendapat PKRS perlu menjadi satu subjek khusus dan perlu dilaksanakan secepat mungkin bagi mengelakkan peningkatan masalah sosial dalam kalangan remaja.

“Kita tidak boleh lagi menunggu lebih lama kerana menurut kajian yang telah kita lakukan, ramai remaja di negara ini masih tidak mengetahui fungsi dan kepentingan pergaulan secara sihat antara lelaki dan wanita,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Hari Anugerah Cemerlang Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) peringkat Kedah di sini hari ini.

Puad berkata, pengajaran subjek tersebut yang dicadangkan bermula pada peringkat sekolah rendah atau menengah rendah juga membolehkan remaja memperoleh maklumat berhubung kesihatan reproduktif mereka dengan lebih tepat.

“Sekarang, kebanyakan maklumat yang diperoleh remaja berbentuk bahan lucah kerana mereka mendapatkan menerusi sumber yang salah. Lebih membimbangkan, ada usaha pihak tidak bertanggungjawab termasuk pemimpin menyebarkan fahaman LBGT.

“Oleh itu melalui pendidikan kesihatan ini mereka akan memperoleh maklumat yang tepat daripada guru yang telah dilatih dan mempunyai kemahiran dan kepakaran tentang pendidikan kesihatan,” katanya.

Tambah beliau, guru PKRS juga diharap menjadi sumber rujukan baik bagi membimbing pelajar ke arah membina sahsiah yang cemerlang.

“Ramai ibu bapa masih segan atau malu untuk membincangkan soal pendidikan seks dengan anak. Oleh itu, peranan ini diambil alih oleh guru melalui mata pelajaran PKRS di sekolah,” jelasnya.