Kementerian perluas Sistem Modular di peringkat sekolah menengah atas

Posted on July 9, 2012, Monday

KOTA BAHARU: Kementerian Pelajaran akan memperluas Sistem Modular iaitu peperiksaan mengikut semester di peringkat sekolah menengah atas ke seluruh negara mulai tahun ini, kata Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Abd Ghafar Mahmud.

Bagaimanapun, beliau berkata kementerian belum bercadang mengadakan sistem itu secara berpusat seperti yang terdapat di pusat matrikulasi.

“Walaupun sistem ini bukanlah merupakan sistem baharu kerana sudah diperkenalkan beberapa tahun lalu di peringkat Tingkatan Enam di negara ini, tetapi ia akan diperluaskan lagi ke seluruh negara mulai tahun ini,” katanya kepada kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Anugerah Kualiti dan Inovasi Sekolah-Sekolah Kelantan 2011 semalam.

Turut hadir Pengarah Jabatan Pelajaran Kelantan Hussin Awang.

Pada majlis itu, Abd Ghafar turut menyampaikan hadiah kepada pengetua dan guru besar mewakili sekolah yang berjaya dalam kategori masing-masing, termasuk anugerah bagi Gred Purata Sekolah (GPS), Gred Purata Mata Pelajaran (GPMP) dan Anugerah Lonjakan.

Abd Ghafar berkata, sistem modular yang diperkenal itu memerlukan pelajar tingkatan enam menjalani pengajian tiga semester untuk mengumpul mata sebelum diterima melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi mengikut sistem merit.

Beliau berkata, sistem itu mempunyai kelebihan dan setiap pelajar diberi pengisian dalam bidang pendidikan yang lebih luas berbanding sistem biasa.

“Ini membolehkan mereka menerima pendidikan dengan lebih cepat setelah diterima melanjutkan pelajaran di pusat pengajian tinggi,” katanya.

Mengulas penyerapan sekolah agama rakyat di bawah Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK), beliau berkata langkah itu lebih memberi kebaikan kepada Kementerian Pelajaran ke arah penambahbaikan mata pelajaran di negara ini selaras strategi transformasi Pendidikan Negara. — Bernama

Tanpa menyebut jumlah sebenar bilangan sekolah di Kelantan yang bakal diterima sebagai sekolah di bawah SABK kementerian itu, Abd Ghafar berkata beliau bangga dengan pencapaian pelajar sekolah menengah agama di bawah kerajaan negeri itu, kerana ia turut meningkatkan mutu pendidikan negara. — Bernama

Read more: http://www.theborneopost.com/2012/07/09/kementerian-perluas-sistem-modular-di-peringkat-sekolah-menengah-atas/#ixzz205Vxe6PK