RM170.5 juta biaya projek penyelidikan IPT tahun ini

06 Julai 2012, Jumaat

http://www.utusan.com.my/info.asp?y=2012&dt=0706&pub=Utusan_Malaysia&sec=Kampus&pg=ka_01.htm

PUTRAJAYA 5 Julai – Satu jawatankuasa telah ditubuhkan bagi menilai hasil dana penyelidikan kerajaan di institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta terhadap pembangunan, kemajuan dan transformasi negara.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, sudah tiba masanya untuk kerajaan membuat ukuran berdasarkan pulangan kewangan kerana penerbitan jurnal sahaja tidak memadai.

‘‘Untuk itu, sebuah jawatankuasa telah dibentuk untuk membuat kajian impak bagi setiap duit yang kerajaan belanjakan dalam penyelidikan.

‘‘Kita nak tahu sejauh manakah penyelidikan terbabit berupaya memberi manfaat kepada masyarakat dan membantu memodenkan Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyampaikan dana penyelidikan KPT di sini hari ini.

Pada majlis sama, beliau turut menyaksikan majlis menandatangan memorandum persefahaman (MoU) antara Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan Mercuria Resources Sdn. Bhd. untuk produk Cilibangi.

Satu lagi MoU adalah antara Universiti Malaya (UM) dengan Reszon Diagnostic Sdn. Bhd. untuk produk PlasmoNex.

Mohamed Khaled turut mencadangkan agar satu formula diwujudkan untuk mengukur sumbangan dapatan penyelidikan dan inovasi KPT kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.

Katanya lagi, usaha membangunkan kayu ukur yang pragmatik itu juga bagi mengiktiraf sumbangan penyelidikan yang impaknya ‘tidak terhingga’ serta kualitatif.

‘‘Hanya melalui pendekatan itu, kita dapat meyakinkan diri kita, kerajaan dan masyarakat awam bahawa dana awam yang diperuntukkan sesungguhnya digunakan dengan penuh tanggungjawab,” katanya.

Beliau berkata, sebanyak RM170.5 juta diperuntukkan bagi membiayai kira-kira 1,451 projek penyelidikan oleh IPT awam dan swasta di seluruh negara sepanjang tahun ini.

Pembiayaan tersebut mengikut empat geran penyelidikan utama iaitu Skim Geran Penyelidikan Fundamental (FRGS), Skim Geran Penyelidikan Eksploratori (ERGS), Skim Geran Penyelidikan Jangka Panjang (LRGS) dan Skim Geran Penyelidikan Prototaip (PRGS).