Semua sekolah satu sesi

07 Julai 2012, Sabtu

http://www.utusan.com.my/info.asp?y=2012&dt=0707&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_04.htm

BALING 6 Julai – Kementerian Pelajaran berhasrat menjadikan semua sekolah di negara ini sebagai sekolah satu sesi pada masa depan.

Timbalan Menterinya, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, bagaimanapun ia belum boleh dilaksanakan sepenuhnya dan perlu dilakukan secara berperingkat.

“Kerajaan memang berhasrat melaksanakan sekolah satu sesi, namun atas faktor kekurangan tanah dan tapak sesuai terutama di kawasan bandar menyebabkan masalah itu tertangguh,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Wanita UMNO Bahagian Baling di sini hari ini.

Menurutnya, sehingga kini terdapat sebanyak 8,468 sekolah telah melaksanakan sekolah sesi pagi sahaja iaitu 6,943 sekolah rendah dan 1,525 sekolah menengah manakala 35 buah sekolah sesi petang sahaja iaitu 28 sekolah rendah dan tujuh buah sekolah menengah.

Mohd. Puad berkata, kerajaan terpaksa mengambil masa untuk melaksanakan rancangan itu terutama di kawasan bandar akibat pertambahan penduduk ekoran peningkatan projek perumahan dan penempatan baru.

Tambahnya, pelaksanaan sekolah satu sesi juga akan mengakibatkan kerajaan terpaksa menanggung kos yang tinggi untuk pembinaan sekolah-sekolah baru dan penempatan guru terutama di kawasan bandar.

Beliau bagaimanapun berkata, kementerian sentiasa mengambil kira kepentingan dan keperluan semasa untuk semua pihak sebelum ia dapat dilakukan dengan cara terbaik.