Dasar pendidikan perlu rujukan spesifik

12 Julai 2012, Khamis

http://www.utusan.com.my/info.asp?y=2012&dt=0712&pub=Utusan_Malaysia&sec=Parlimen&pg=pa_06.htm

KUALA LUMPUR 11 Julai – Pelaksanaan kajian semula Dasar Pendidikan Negara memerlukan terma rujukan yang spesifik dan konkrit agar ia tidak diselewengkan oleh petualang antiperpaduan, antinasional serta parasit politik.

Ahli Dewan Negara, Senator Prof. Datuk Dr. Firdaus Abdullah berkata, golongan berkenaan sentiasa menunggu peluang untuk mengemukakan tuntutan-tuntutan yang tidak munasabah dan bertentangan dengan aspirasi nasional.

Katanya, terma rujukan yang bersifat terbuka adalah berbahaya kerana boleh disalah guna oleh pihak-pihak tertentu untuk merombak dasar-dasar yang telah dipersetujui dahulu.

“Kerajaan mesti berhati-hati apabila mengadakan pertemuan dengan pelbagai pihak yang terlibat dalam kajian semula Dasar Pendidikan Negara.

“Ada segelintir pihak di negara ini yang tidak peduli tentang apa yang akan berlaku kepada masyarakat asalkan matlamat mereka tercapai,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan 2012 di Dewan Negara hari ini.

Firdaus membahaskan secara terperinci permohonan peruntukan tambahan sebanyak RM35 juta oleh Kementerian Pelajaran untuk menampung pelaksanaan kajian semula Dasar Pendidikan Negara.

Dalam perkembangan sama, beliau berpandangan bahawa dasar berkenaan sebenarnya tidak memerlukan kajian semula, sebaliknya perlu dikaji keberkesanan pelaksanaannya.

Menurutnya, kelemahan pelajar dalam sesuatu subjek tidak berhubung kait dengan Dasar Pendidikan Negara yang sedang digunakan sekarang.

“Sehubungan itu, saya sarankan agar kementerian melihat semula sama ada benar-benar terdapat keperluan untuk mengkaji dasar itu,” ujarnya.

Kata Firdaus, kementerian juga perlu menerapkan tiga fungsi penting iaitu membina watak, membangunkan sumber manusia dan mewujudkan sebuah negara bangsa dalam kajian semula pelaksanaan Dasar Pendidikan Negara.