Guru penentu kecemerlangan negara

Posted on July 16, 2012, Monday

by Mastura Ismail.

TANDA INGATAN: Asfia (tiga kiri) menyerahkan cenderamata kepada wakil kontinjen Limbang, Matzinan (kanan) sambil disaksikan (dari kiri) Dr Rahman, Hasbi, Abdillah dan Dzul Badzli.

LIMBANG: Kecemerlangan masa depan negara terletak di tangan pendidik dalam menyediakan para pelajar dengan ilmu yang tinggi termasuk menguasai serta mendalami pelbagai bahasa asing lain di dunia.

Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Datuk Amar Mohd Asfia Awang Nassar berkata peranan guru adalah untuk mengagih-agihkan ilmu kepada modaliti (pelajar).

Katanya dalam mengejar ilmu, mereka tidak boleh terhad untuk menerokai perkara dan bahasa yang mereka tahu sahaja.

Beliau berkata cerminan masa depan sesebuah negara adalah terletak pada wajah generasi muda yang bakal mewarisi kepimpinan negara.

“Golongan pendidik mempunyai kuasa yang besar untuk mempengaruhi golongan muda-mudi dengan menyediakan mereka dengan ilmu yang luas termasuk menguasai pelbagai kemahiran bahasa asing,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Malam Bedudun Pesta Persatuan Sukan dan Kebudayaan Perkhidmatan Pendidikan (PSKPP) Peringkat Negeri di sini malam kelmarin.

Turut hadir Ahli Parlimen Limbang Hasbi Habibollah, ADUN Bukit Kota Dr Abdul Rahman Ismail, Pengarah Pelajaran Negeri Sarawak Abdillah Adam, Residen Limbang Maria Hasman, Pegawai Pelajaran Daerah Limbang Mohd Dzul Badzli Abdullah dan Pegawai Pelajaran Daerah Lawas Matzinan Wahid.

Asfia berkata lagi sistem pendidikan terbaik adalah kemampuan para pendidik untuk mengeluarkan potensi individu dan bukannya menekankan potensi mereka.

“Kuasa ilmu jika disebar mungkin semakin bertambah berbanding wang kalau dibelanja semakin berkurangan.

“Sesebuah negara walaupun memunyai kekayaan daripada hasil gas dan minyak, tetapi jika tiada ilmu mereka tidak dapat memanfaatkan kekayaan itu,” tambahnya.

Beliau berkata rakyat boleh menilai perbezaan begitu ketara antara kepentingan wang dan ilmu.

“Wang walaupun begitu penting tetapi ada kelemahannya, walaupun ia disimpan sebaiknya tetapi jika nilainya jatuh ia memberi kesan kepada kedudukan wang itu sendiri.

“Ia berbeza dengan ilmu yang mempunyai nilai dan kepentingannya,” katanya.

Mohd Asfia menambah lagi proses mendapatkan ilmu akan tercapai jika mereka menguasai pelbagai bahasa asing.

Beliau menjelaskan lagi bahasa Inggeris kini sudah mencapai rekod mencecah sejuta dari segi penambahan perbendaharaan kata yang kebanyakanya turut dipinjam daripada bahasa Latin, Greek dan semua bahasa lain di seluruh dunia.

“Setiap tahun sekitar 500-800 perkataan dalam bahasa Inggeris wujud dan sebanyak 500-1,000 buku baharu diterbitkan berbanding bahasa tempatan lain yang masih jauh ketinggalan,” katanya.

Katanya ada yang tidak mahu dan menolak untuk mempelajari bahasa asing kerana mereka sebenarnya tidak memahami kepentingan bahasa lain dalam meningkatkan ilmu mereka.

Oleh itu katanya golongan pendidik seharusnya mendalami bahasa antarabangsa untuk meningkatkan pengetahuan kerana mereka boleh mempengaruhi cara dan kaedah pembelajaran pelajar di sekolah.

Sementara itu pasukan daripada Kuching muncul johan keseluruhan pada Pesta PSKKP Ke-32 kelmarin dengan meninggalkan pencabar terdekatnya Limbang di kedudukan naib johan.

Manakala bahagian Sibu mendapat tempat ketiga pada kejohanan sama.

Seramai 2,448 peserta daripada 11 pasukan menyertai 22 acara yang dipertandingkan termasuk bola sepak, bola tampar, poco-poco, bola jaring, futsal, sepak takraw dan pelbagai acara sukan lain yang dipertandingkan pada 13 dan 14 Julai.

Pesta PSKPP yang bermula pada 1991 dijalankan bagi mewujudkan perpaduan dan semangat kesukanan yang tinggi di kalangan peserta.

Bahagian Bintulu dipilih sebagai destinasi seterusnya bagi penganjuran Pesta PSKPP Ke-33 nanti.

Read more: http://www.theborneopost.com/2012/07/16/guru-penentu-kecemerlangan-negara/#ixzz20kUev46j