Guru perlu jadi pemimpin kepada pelajar

14 Julai 2012, Sabtu

http://www.utusan.com.my/info.asp?y=2012&dt=0714&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_05.htm

KUALA LUMPUR 13 Julai – Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, golongan guru perlu menetapkan sasaran peribadi untuk menjadi pemimpin kepada pelajar di sekolah tanpa perlu bergantung semata-mata kepada pengetua atau guru besar.

Menurut beliau, kepimpinan tersebut harus berdasarkan kapasiti masing-masing, sama ada di dalam atau di luar bilik darjah.

”Pemimpin wujud di semua peringkat sekolah. Bukan sahaja pengetua, guru besar atau guru kanan, bahkan semua guru merupakan pemimpin kepada para pelajar mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucaptama Persidangan Transformasi Pendidikan Melalui Kepimpinan Cemerlang anjuran Yayasan Amir, Yayasan Pintar dan Yayasan Khazanah di sini hari ini.

Ucapan tersebut dibacakan oleh Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Abd. Ghafar Mahmud pada majlis yang turut dihadiri Pengerusi Lembaga Amanah Yayasan Amir, Tan Sri Raja Arshad Raja Tun Uda dan Pengerusi Lembaga Amanah Yayasan Pintar, Tan Sri Arshad Ayub.

Muhyiddin menegaskan, kualiti pendidikan di sekolah bergantung kepada kebolehan dan kecekapan pemimpin sekolah dan guru-guru.

”Penekanan terhadap aspek kepimpinan, pengajaran dan pembelajaran adalah tepat dan wajar dimanfaatkan melalui persidangan seperti ini, malah penglibatan ibu bapa harus diperhalusi agar semangat dan tanggungjawab ke arah aspirasi murni dapat dipikul bersama,” ujar beliau.

Beliau turut mengalu-alukan penekanan Yayasan Amir terhadap pembangunan profesional guru dan pemimpin sekolah untuk mencapai hasrat menghasilkan pelajar cemerlang secara holistik.