Pemupukan potensi kanak-kanak berbakat akan membuahkan hasil

16 Julai 2012, Isnin

http://www.utusan.com.my/info.asp?y=2012&dt=0716&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_15.htm

Rosmah Mansor berbual dengan beberapa pegawai kerajaan UAE ketika menerima kunjungan hormat Menteri Pelajaran negara itu, Humaid Mohammed Al-Qutami (kanan) di Dubai, semalam. – BERNAMA

DUBAI 15 Julai – Penaung Program Permata Negara, Datin Seri Rosmah Mansor pada Ahad menyatakan akan pentingnya negara-negara menumpukan pada pendidikan yang memenuhi keperluan kanak-kanak yang memiliki bakat semulajadi, menegaskan kegagalan berbuat demikian boleh menyebabkan kehilangan bakat kepada negara lain dan ketinggalan daripada segi kemajuan.

Dalam ucaptama beliau pada Persidangan Asia Pasifik Mengenai Bakat Semulajadi ke-12 di sini, isteri Perdana Menteri berkata, sejarah menunjukkan negara yang mengabaikan pendidikan, terutama pendidikan peringkat awal, akhirnya menyedari mereka berdepan kesukaran memajukan ekonomi-ekonomi mereka dan mencorakkan perwatakan, pertumbuhan dan kesepaduan sosial negara.

“Jika kita terlepas peluang membantu mereka yang memiliki bakat semulajadi di kalangan kita, kita akan mengalami masalah kekurangan golongan cerdik pandai dan ketinggalan dalam perjuangan mewujudkan kemajuan transformasi dalam persekitaran kita yang semakin rumit dan berasaskan teknologi.

“Kita perlu boleh berkata yang kita telah berbuat secukupnya untuk menyediakan pelajar kita yang memiliki bakat semulajadi untuk menjadi pemimpin yang mampu menghadapi cabaran pada abad ke-21,” katanya.

Bertemakan Mengoptimumkan Potensi Mereka Yang Memiliki Bakat Semulajadi, ucaptama itu disampaikan pada persidangan itu yang berlangsung di Dubai International Convention and Exhibition Centre.

Rosmah dijemput menghadiri persidangan lima hari itu yang dirasmikan pada Sabtu oleh Sheikh Hamdan bin Rashid Al Maktoum, Timbalan Pemerintah Dubai dan Menteri Kewangan Emiriah Arab Bersatu (UAE), atas sumbangan besar beliau terhadap inisiatif program Permata yang menumpukan pada pendidikan dan penjagaan awal kanak-kanak.

Rosmah, yang memperjuangkan program bagi kalangan mereka yang memiliki bakat semulajadi di Malaysia, berkata persepsi bahawa penyediaan peluang kepada individu berkenaan akan mewujudkan golongan elit sepatutnya dihakis.

Dalam kes di Malaysia katanya, negara menyediakan peluang pendidikan yang seimbang kepada mereka yang memiliki bakat semulajadi dan kepada semua pelajar lain.

Menyifatkan individu yang memiliki bakat semulajadi sebagai aset bernilai di mana-mana negara, beliau berkata adalah penting pendekatan berbeza diberikan kepada mereka daripada segi pengajaran dan pembelajaran dalam persekitaran kondusif yang sesuai dengan mereka.

“Jika kita gagal menyediakan pendidikan yang mampu memenuhi keperluan mereka, kita bakal berdepan kemungkinan kehilangan mereka kepada negara lain, atau mereka mungkin keciciran atau tidak dapat menyesuaikan diri di dalam kelas dan masyarakat,” jelasnya.

Beliau menegaskan bahawa masyarakat akan mendapat banyak faedah daripada pemikiran cerdas dan keupayaan mereka untuk memperoleh dan mengaplikasikan pengetahuan dan strategi mereka dalam menyelesaikan masalah, serta keupayaan mereka menyesuaikan diri dalam sebarang situasi baru. – BERNAMA