Keracunan makanan di dua sekolah

17 Julai 2012, Selasa

http://www.utusan.com.my/info.asp?y=2012&dt=0717&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_16.htm
Oleh MOHAMMAD YASIR JAAFAR dan ASLIZA MUSA
pengarang@utusan.com.my

SEKUMPULAN murid SK Sungai Rapat yang menerima rawatan pesakit luar selepas dipercayai keracunan makanan di Klinik Kesihatan Gunung Rapat, Ipoh, semalam.

SEREMBAN 16 Julai – Seramai 15 daripada 72 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Sheikh Haji Mohd. Said di sini dikejarkan ke Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS) di sini hari ini kerana disyaki mengalami keracunan makanan selepas mengadu sakit perut dan cirit-birit.

Difahamkan, pelajar sekolah terbabit mengadu sakit perut selepas bersarapan dan makan tengah hari di asrama sekolah berkenaan semalam.

Seorang pelajar, Nur Farhana Abd. Raup, 17, berkata, dia mula sakit perut selepas bersarapan bihun yang disediakan di asrama berkenaan pagi semalam.

“Pada mulanya saya tidak rasa apa-apa tetapi pada sebelah malam perut saya mula sakit dan terpaksa ke tandas beberapa kali,” katanya di sini hari ini,

Pegawai perhubungan awam HTJS, Lathifah Abdul Hamid berkata, seramai 15 pelajar telah mendapatkan rawatan di hospital berkenaan kira-kira pukul 9.15 pagi.

Menurutnya, pihak hospital juga telah menghantar sekumpulan pegawai perubatan ke sekolah terlibat untuk memberi rawatan kepada pelajar lain yang menunjukkan tanda-tanda keracunan makanan.

“Daripada maklumat yang kita terima, seramai 70 pelajar perempuan dan dua pelajar lelaki di sekolah berkenaan mengalami sakit perut dan cirit-birit disyaki akibat keracunan makanan.

“Semua pelajar berkenaan telah diberikan rawatan dan keadaan mereka dilaporkan stabil,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Sementara itu di Ipoh, seramai 50 murid tahun empat hingga enam Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Rapat dikejarkan ke Klinik Kesihatan Gunung Rapat selepas mengalami keracunan makanan, dipercayai selepas menikmati hidangan nasi dan telur goreng di kantin sekolah berkenaan hari ni.

Semua murid tersebut dihantar ke klinik kesihatan awam itu oleh guru sekolah tersebut kira-kira pukul 10 pagi.

Guru sekolah terbabit, Ahmad Hishamuddin Abd. Karim, 44, berkata, pihaknya berusaha mengenal pasti punca kejadian dan tidak menolak kemungkinan ia disebabkan hidangan yang dijual di kantin sekolah itu.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Rapat, Datuk Hamidah Osman berkata, tindakan tegas akan diambil terhadap pengusaha kantin terbabit sekiranya terbukti berlaku kecuaian dalam penyediaan makanan.

Seorang murid, Amirul Akmal Ahmad Zulkarnain, 10, memberitahu, perutnya memulas-mulas pada pukul 10 pagi ini setelah bersarapan di kantin sekolah itu sebelum menyertai perhimpunan.

“Selepas bersarapan nasi goreng yang dibeli di kantin, perut saya rasa sakit sehingga saya terpaksa berkejar ke tandas beberapa kali,” katanya ketika ditemui di klinik berkenaan di sini hari ini.

berkenaan.

“Kita akan memaklumkan kes ini kepada Jabatan Pelajaran negeri sebelum tindakan susulan dibuat. Jika didapati ia berpunca daripada hidangan kantin sekolah, kami akan ambil tindakan sewajarnya terhadap pengusaha kantin itu,” katanya.

“Saya memandang serius kejadian ini. Saya telah berbincang dengan pihak sekolah dan Jabatan Kesihatan negeri bagi mengenal pasti punca kejadian.

“Semua sampel makanan telah diambil untuk diuji dan sekiranya terbukti berpunca daripada makanan tersebut, tindakan tegas akan diambil terhadap pengusaha terbabit,” ujarnya.