Kerajaan beri peruntukan, tak pinggir SJK Cina, Tamil

Rabu , 18 Julai 2012

06:02:42 AMCetakEmel Kawan
Tampin: Sekolah Kebangsaan (SK) serta Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina dan Tamil menerima perhatian sama, malah purata peruntukan diterima setiap tahun tidak jauh berbeza.

Ini sekali gus menafikan dakwaan segelintir pihak yang mendakwa bahawa kerajaan meminggirkan SJK. Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata berikutan sokongan kerajaan itu, SJK di negara ini semakin berkembang.
“Purata peruntukan perbelanjaan diterima SK setiap tahun ialah RM2.26 juta manakala SJKC (RM2.23 juta) dan SJKT (RM1.19 juta).

Perbezaan tak banyak

“Ada yang kata SK dapat lebih, tapi sebenarnya perbezaan tidak banyak,” katanya ketika merasmikan bangunan baru SJKC Kampung Baru Tampin di sini, semalam.

Sekolah yang dibina dengan kayu hutan pada 1951 mendapat dua bangunan baru setinggi tiga dan empat tingkat bernilai RM5 juta melalui Rancangan Malaysia Ke-10 (RMKe-10).
Turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Ahli Parlimen Tampin yang juga Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Shaziman Abu Mansor.

Sementara itu pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di padang Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Indah, Muhyiddin berkata, perubahan tuntutan rakyat memerlukan kerajaan yang mampu melakukan transformasi.

Katanya, kerajaan Barisan Nasional (BN) yang dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berupaya memenuhi kehendak dan keperluan rakyat.

BN mempunyai perancangan teliti

“Hanya kerajaan BN mempunyai perancangan teliti, sama ada dalam bidang pendidikan, ekonomi, kesihatan, infrastruktur, pengangkutan awam dan kos sara hidup,” katanya.

Timbalan Perdana Menteri berkata, kerajaan juga menyedari rakyat mahukan ruang lebih luas untuk mengamalkan hak bersuara melalui sistem demokrasi yang lebih segar.

Katanya, ini yang menyebabkan kerajaan melakukan transformasi politik dan memansuhkan beberapa undang-undang yang tidak lagi sesuai seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri.