UTM sasar pendidikan ijazah percuma

Putrajaya: Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menyasarkan semua pelajar ijazah pertamanya mendapat pendidikan percuma menjelang 2020 menerusi biasiswa Endownment berjumlah RM500 juta.

Sasaran itu ditetapkan UTM bagi 8,000 pelajarnya berdasarkan jumlah dana bagi Endownment yang semakin meningkat sejak dilancarkan pada 2010. Naib Canselornya, Prof Datuk Dr Zaini Ujang, berkata pada tahun ini UTM berjaya mengumpul RM40 juta yang mampu membiaya biasiswa kepada 150 pelajar memperoleh Purata Nilai Gred Keseluruhan (PGNK) 3.75 ke atas dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Matrikulasi dan Asasi Sains.
Jumlah dana meningkat

“Jumlah ini meningkat berbanding RM31.2 juta pada tahun lalu yang memberi manfaat kepada 100 pelajar. Saya yakin sasaran UTM menjelang 2020 mampu dicapai berdasarkan sumbangan berterusan daripada alumni dan orang awam,” katanya selepas majlis ‘Impianku Ke Menara Gading’ anjuran Kementerian Pengajian Tinggi di sini, semalam.

Seramai 48 pelajar lepasan STPM, Matrikulasi dan Asasi Sains menerima anugerah kecemerlangan daripada Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pada majlis itu.